PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
Pada pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen Malaysia demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen Malaysia sebagai sebuah cabang institusi Kerajaan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Tumpuan kepada agenda penambahbaikan adalah pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 bagi memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.
Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa- jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.
Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan.
Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh YB Menteri kepada agenda penambahbaikan tersebut dan cadangan pembentukan sebuah Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri demi memastikan agenda penambahbaikan tersebut dapat dijadikan kenyataan.
Sesungguhnya, kami kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat amat menyambut baik dan akan memberikan sokongan padu langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.
Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut.
Sekian, terima kasih.
SENATOR TAN SRI DATO‘ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM
Yang di-Pertua Dewan Negara
DATUK AZHAR AZIZAN HARUN
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
3 September 2021
Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur
Kemaskini terakhir pada: 3 September 2021 | Hits: 1937