16 SENATOR ANGKAT SUMPAH AHLI DEWAN NEGARA
control 1control 2control 3
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) --  Enam belas Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini. 
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah Abdul Nasir Idris, Setiausaha PAS Kedah Musoddak Ahmad, Dr A. Lingeshwaran, Amir Ghazali dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman. 

Pelantikan Abdul Nasir dan Musoddak merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkuat kuasa hari ini, sementara Lingeshwaran dan Amir Ghazali pilihan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa pada 7 Mac lepas manakala Anifah mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong mewakili Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula hari ini. 

Antara Ahli Dewan Negara lain yang mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini ialah Isaiah D Jacob mewakili WP Kuala Lumpur dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Low Kian Chuan. 

Selain itu,  Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Datuk Sivaraj Chandran, Mohd Hasbie Muda, Abun Sui Anyit,  Noorita Sual dan Roderick Wong Siew Lead. 

Sementara itu, Manolan Mohamad merupakan Ahli Dewan Negara lantikan semula oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini manakala Presiden Yayasan Amal Malaysia Hussin Ismail merupakan pilihan DUN Terengganu mewakili negeri itu bermula 15 Mac lepas. 

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.
Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan 16 Ahli Dewan Negara itu menyeru setiap Ahli Dewan Negara yang dilantik agar memainkan peranan dan menggembleng tenaga dalam menyemarakkan Rukun Negara selain patuh dengan Perlembagaan negara. 

“Mari kita bersama mengorak langkah dan mencari jalan serta menaut persahabatan dan keyakinan bahawa inilah Dewan tertinggi negara kita… kita jangan takut, khuatir dan berbelah bahagi untuk menegakkan kebenaran.

“...dan meneliti segala kuasa segala yang dicatat menerusi Dewan Rakyat ataupun menerusi dewan ini sendiri dengan itu insyaAllah kita akan terserlah sebagai anggota Dewan Negara yang baharu dan boleh kita banggakan untuk kita capai tahap yang lebih tinggi,” katanya. 

Sementara itu, Awang ketika ditemui selepas upacara angkat sumpah berkata beliau akan berusaha untuk meningkatkan martabat bahasa dan budaya selain mengharapkan respons yang positif daripada wakil rakyat dan kerajaan mengenai perkara berkenaan. 

“Ini (pelantikan) adalah pengiktirafan kepada semua pejuang bahasa, pejuang pendidikan dan budaya saya cuma menyuarakan perjuangan kami bersama.

“Saya berharap suara saya ini akan mewakili rakan-rakan lain dan dapat diberi perhatian oleh pihak pemerintah dan semua pihak berkuasa agar soal bahasa dan budaya penting diberi perhatian supaya kita dapat membangunkan negara secara holistik, secara bersepadu seperti negara-negara maju yang lain,” katanya. 

Anifah, bekas Menteri Luar dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan dan kepercayaan mereka dalam mengesyorkan dan melantik beliau sebagai senator.

Beliau komited untuk menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang serta sedia menyumbang kepada perbincangan dan perbahasan bermakna yang akan membentuk masa depan Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya di persada global.

sumber BERNAMA

©️ Bahagian Komunikasi, Parlimen Malaysia | Ahmad Afify

Bahagian Komunikasi
Parlimen Malaysia
20 Mac 2023

Kemaskini terakhir pada: 24 Mac 2023 | Hits: 1722

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 27/03/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.033 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my