IPCMC DITANGGUH UNTUK PENAMBAHBAIKAN
control 1control 2control 3
 
 


KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Penangguhan pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 adalah untuk penambahbaikan menerusi pandangan daripada pihak berkepentingan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata langkah memperhalusi Rang Undang-undang itu adalah perlu bagi memudahkan pelaksanaannya apabila diluluskan kelak selain mengelak isu berbangkit.

“Kerajaan mendapati bahawa Rang Undang-undang IPCMC perlu diperhalusi selanjutnya bagi menubuhkan peraturan berkaitan penjalanan prosiding tatatertib, digubal selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395] sedia ada, terpakai terhadap anggota polis.

“Begitu juga dengan pengelasan salah laku kecil,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata dalam hal itu Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) ditugaskan untuk berbincang dengan pemegang-pemegang taruh, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penggubalan peraturan di bawah fasal 50 Rang Undang-undang IPCMC dan pengelasan salah laku kecil di bawah fasal 22(2) baharu Rang Undang-undang IPCMC.

Katanya ini kerana terdapat isu-isu berbangkit berkenaan dengan perjalanan prosiding tatatertib dan pengelasan salah laku kecil.

Berhubung isu pemantauan terhadap 20 agensi penguatkuasaan lain, selain PDRM di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Liew berkata kerajaan berpandangan perlu ada suatu mekanisme baharu untuk memantau agensi-agensi penguatkuasaan itu demi memastikan pelaksanaan IPCMC kelak terhadap anggota PDRM seiring dengan 20 agensi lain.

Terdahulu pada sidang Dewan Rakyat, Liew berkata pembentangan Rang Undang-undang IPCMC ditangguh ke persidangan akan datang.

Liew ketika mengemukakan perkara itu pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini, berkata “Tuan Yang Dipertua, bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon menangguhkan bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga RUU IPCMC DR 25 2019 seperti di nombor dua, Aturan Mesyuarat hari ini, ke mesyuarat akan datang.

RUU IPCMC 2019 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Julai lepas dan bacaan kali kedua pada Oktober lepas, sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang untuk dibincang dengan lebih teliti.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan pasukan polis dan akan bertindak sebagai badan pemantau bebas bagi menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. -- BERNAMA


Kemaskini terakhir pada: 4 Disember 2019 | Hits: 15110

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 19/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.032 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my