KUNJUNGAN HORMAT KONSORTIUM MEMBANTERAS RASUAH KE ATAS YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA
control 1control 2control 3


KUALA LUMPUR, 22 April 2022 (Jumaat) : Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah menerima kunjungan hormat daripada empat ahli Konsortium Membanteras Rasuah di Parlimen hari ini.

Rombongan yang diketuai Shah Hakim@Shahzanin Zain, daripada #RasuahBusters, Norhayati Nordin, daripada C4 Centre, Cinthia Gabriel manakala mewakili IDEAS, Tricia Yeoh telah mengemukakan beberapa cadangan dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.

Antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan itu adalah peranan dan tindakan yang perlu diambil oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam usaha membanteras rasuah di samping meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kesan teruk jika tidak ditangani dari sekarang.

Tan Sri Rais turut menyatakan bahawa memang agak sukar pada ketika ini untuk mengubah budaya rasuah yang telah lama dipraktikkan. Usaha untuk membuat pembaharuan budaya ini pasti akan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Namun sekiranya tiga agen perubahan utama memberikan sokongan dan saling bekerjasama iaitu Institusi Parlimen, pemimpin tertinggi Kerajaan dan masyarakat khususnya NGO sudah pasti usaha memperbetulkan semula budaya negatif ini akan berjaya.

Justeru selaku Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah beliau begitu komited dalam merangka pelan jangka panjang dan jangka pendek seperti melaksanakan Transformasi Parlimen yang perlu bergerak bebas. Di samping itu, memastikan ahli-ahli Parlimen juga bebas daripada sebarang elemen rasuah dan sentiasa menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat.

Konsortium Membanteras Rasuah juga turut mencadangkan agar Parlimen dapat berfungsi sebagai pengawas memantau aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan bagi memastikan tiada aktiviti rasuah dilakukan. Oleh itu sudah semestinya, Parlimen perlu bebas daripada pengaruh Badan Eksekutif agar pemantauan lebih telus dan berkesan.

“Dalam merealisasikan hasrat “Malaysia Bebas Rasuah”, beberapa perkara perlu diberi perhatian seperti melihat semula peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), membentuk suruhanjaya yang dikawal selia oleh Parlimen dan memberi kefahaman dan kesedaran yang betul berkenaan rasuah dalam kalangan masyarakat”, kata Tan Sri Rais.

Pertemuan hampir satu jam itu diharap akan menjadi batu loncatan dalam usaha kerjasama antara NGO dan Badan Legislatif dalam membanteras gejala rasuah hingga ke akar umbi. -- BAHAGIAN KOMUNIKASI PARLIMEN MALAYSIA

 


Kemaskini terakhir pada: 25 April 2022 | Hits: 278

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 25/05/2022.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2022 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.032 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my