VIGNESWARAN PENGERUSIKAN DEWAN NEGARA BUAT KALI TERAKHIR
control 1control 2control 3

 

KUALA LUMPUR, 18 Mei -- Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran mempengerusikan persidangan Dewan Negara buat kali terakhir hari ini, sebelum beliau menamatkan tempoh jawatan itu pada 22 Jun ini.

Dalam ucapan terakhirnya, Vigneswaran berkata tanggungjawab yang dipikul beliau sejak 2014 itu merupakan satu penghormatan yang disanjung tinggi dan tugas yang amat berat kerana perlu sentiasa bersikap adil. 

“Untuk menjadi seorang Yang Dipertua yang adil dan saksama, saya telah meluangkan masa untuk menelaah Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat berkaitan serta mendapatkan khidmat nasihat undang-undang dari semasa ke semasa.

“Sepanjang tempoh memegang jawatan ini, saya masih aktif dalam politik sebagai Presiden MIC, tetapi hakikatnya saya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip tidak berat sebelah dalam mengurus dewan yang mulia ini dan keputusan saya adalah berasaskan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan bagi memastikan kerusi yang saya duduki ini sentiasa dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mempengerusikan persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini, sebelum menangguhkan persidangan itu.

Persidangan Dewan Negara itu diadakan selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat. 

Dalam ucapan itu, Vigneswaran turut menyentuh mengenai agenda reformasi Dewan Negara yang berlaku semasa beliau menjadi Yang Dipertua, antaranya pembentukan Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, penubuhan Kaukus Dewan Negara dan mengesyorkan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. 

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Negara dan warga Parlimen yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menjayakan perjalanan urusan Dewan Negara teratur dan baik.

“Besarlah harapan saya agar Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu akan dapat meneruskan usaha-usaha murni dan menegakkan prinsip berkecuali Dewan Negara serta terus memperkasakan Dewan yang dicintai ini.

“Saya juga bangga kerana dapat berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di bawah naungan tiga Yang di-Pertua Agong, tiga Perdana Menteri dan tiga gabungan parti kerajaan,” katanya.

Persidangan Dewan Negara ditangguh selepas ucapan Vigneswaran. -- BERNAMA


Kemaskini terakhir pada: 20 Mei 2020 | Hits: 12563

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 27/03/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.034 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my