Ucapan Sambutan Aidilfitri YB Tan Sri Dato' Mohamad Ariff Bin Md Yusof, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat
Alhamdulillah  dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT  kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, kita bertemu Syawal pada tahun ini.

 Sambutan Hari Raya pada kali ini lebih sederhana memandangkan kita masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan wabak COVID-19.

Namun, ia bukan tanda kita tidak patut meraikan Aidilfitri. Dengan cabaran yang kita hadapi, kita masih mampu menzahirkan semangat meraikan kemenangan selepas mengerjakan ibadah puasa Ramadan selama 30 hari dengan cemerlang. Bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari  di bulan Ramadan, malah kemenangan ini menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang.

Terima kasih kepada semua barisan hadapan yang masih cekal mengekang wabak COVID-19. Jasa tidak ternilai ini kami hargai dan disematkan dalam doa kami seharian.

Besarlah harapan saya  agar kita terus memekarkan budaya merapatkan ukhuwah dalam organisasi kita. Dalam surah Al-Anfaal ayat 63 sendiri menyebut dengan indah “Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Sempena meraikan bulan yang mulia ini juga, saya nukilkan serangkap pantun:

Indahnya Langit Kerana Awan,
Indahnya Lautan Kerana Kebiruan,
Indahnya Ramadhan kerana Keinsafan,
Indahnya Syawal kerana Kemaafan,
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin