PARLIMEN MALAYSIA, 5 Jun – YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YB Senator Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di Dewan Negara, di sini.
YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Negara dan timbalannya, YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad bergambar kenangan bersama YB Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dato' Dusuki, YB Senator Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian, YB Senator Datuk Bashir Alias dan YB Senator Tuan Zahari Sarip selepas Upacara Mengangkat Sumpah Ahli-ahli Dewan Negara.
Upacara mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Negara.
Pada majlis itu, dua muka baharu dilantik sebagai senator iaitu YB Senator Datuk Bashir Alias, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Labuan dan YB Senator Tuan Zahari Sarip, Ketua UMNO Bahagian Segamat.
YB Senator Datuk Bashir Alias, 52, yang juga Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan, merupakan anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Pemangku Yang di-Pertua Persatuan Kontraktor Melayu Labuan.
YB Senator Tuan Zahari Sarip, 50, yang juga pengerusi BN Segamat merupakan Pegawai Khas kepada YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan.
Kesemua pelantikan itu adalah untuk tempoh tiga tahun.
Sementara itu, YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran dalam ucapan aluannya berharap supaya sumbangan setiap anggota Dewan Negara dapat diterjemahkan bukan sahaja melalui perbahasan yang aktif dalam dewan, tetapi patuh kepada ikrar taat setia kepada negara berdasarkan prinsip Rukun Negara.