Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima sembah ‘Hormat Diraja’
PARLIMEN MALAYSIA, 11 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen Malaysia.
Keberangkatan tiba baginda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj disambut oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof dan Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato' Sri S.A Vigneswaran.
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan suami, YB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kemudian menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh Kawalan Kehormatan Utama (KKU) didirikan oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Pasukan berpangkalan di Kem Perdana Sg Besi, berkekuatan seramai enam pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat. Ketua Perbarisan adalah Mejar Ahmad Safuan bin Jaafar.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama
Selepas itu lagu Negaraku dimainkan oleh kumpulan pancaragam daripada Kumpulan Pancaragam KKU yang terdiri daripada Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang berkekuatan seramai seorang pegawai dan 44 anggota lain-lain pangkat. Pancaragam ini diketuai oleh Mejar Muhammad Nor Azizan bin Yahya.
Baginda kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebelum lagu Negaraku sekali lagi dimainkan. Perbarisan ini turut disertai sebanyak 21 das tembakan meriam istiadat yang dilaksanakan oleh pasukan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sg Buloh. Pasukan berkekuatan seramai tiga pegawai dan 57 anggota lain-lain pangkat ini diketuai oleh Mejar Mohd Asri bin Che Wil.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah diraja
Selesai istiadat, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi ke Bilik Diraja di Blok Utama, Parlimen sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah diraja.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas ini akan berlangsung selama 20 hari bermula 11 Mac sehingga 11 April 2019. Manakala persidangan Dewan Negara pula akan bermula pada 22 April sehingga 9 Mei 2019.
Kemaskini terakhir pada: 22 Mac 2019 | Hits: 22019