KENYATAAN MEDIA BERKENAAN PEMISAHAN BIDANG KUASA ​​​​​​​PEGUAM NEGARA DAN PENDAKWA RAYA
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

      KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA BERKENAAN PEMISAHAN BIDANG KUASA
PEGUAM NEGARA DAN PENDAKWA RAYA

 

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen Kelima Belas.

 

Yang Berhormat Tuan William Leong Jee Keen, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhasrat untuk mengadakan prosiding bagi pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Hasil perbincangan Yang Berhormat Tuan William Leong Jee Keen dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersetuju agar Jawatankuasa Pilihan Khas ini mengadakan prosiding mengkaji pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkaitan.

Perkara ini juga telah diketengahkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) disebabkan isu-isu yang melibatkan beberapa keputusan kes berprofil tinggi yang memerlukan penjelasan yang lebih lanjut.

Sehubungan itu, satu prosiding di bawah Jawatankuasa ini dicadangkan untuk diadakan bagi memperhalusi isu ini dengan segera. Prosiding yang dicadangkan ini melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti berikut:-

  1. Pembatalan Notis Rayuan oleh Mahkamah Rayuan terhadap kes pindaan laporan audit 1MDB;
  2. Pembatalan pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin melibatkan 4 pertuduhan predikat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009;
  3. Pemberhentian prosiding perbicaraan bagi semua pertuduhan dengan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menafikan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan integriti Peguam Negara dan pegawai-pegawainya, Jawatankuasa ini berpandangan bahawa kes-kes seperti ini memberikan persepsi negatif bahawa terdapat campur tangan Jabatan Peguam Negara oleh pihak-pihak tertentu serta pertimbangan yang berbeza terhadap kes-kes berprofil tinggi. Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, bahkan ia perlu dilihat telah dilaksanakan. Ianya harus dilihat dilaksanakan agar Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang tidak dipersoal oleh mana-mana pihak.

Justeru, Jawatankuasa ini akan memulakan prosiding dengan memanggil individu-individu seperti di bawah untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa ini:-

  1. Dato’ Sri Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi);
  2. Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh selaku Peguam Negara Malaysia;
  3. Tan Sri Idrus Harun selaku bekas Peguam Negara Malaysia; dan
  4. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud selaku Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri;
  5. Pasukan Peguam yang mewakili Dato’ Seri Zahid Hamidi.

 

Prosiding ini adalah tertakluk di bawah Terma Rujukan Nombor III di bawah Jawatankuasa ini yang menggariskan bahawa jawatankuasa berhak menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Suruhanjaya Pilihan Raya dan mana-mana kementerian serta agensi-agensi di bawahnya yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa.

Jawatankuasa ini menzahirkan harapan agar prosiding ini dapat memberi peluang kepada semua pihak yang berkaitan untuk memberi keterangan dengan lebih terperinci dalam membantu Jawatankuasa ini memberikan syor-syor kepada Kerajaan dalam usaha-usaha ke arah reformasi institusi.

Sekian, terima kasih.


Kemaskini terakhir pada: 12 September 2023 | Hits: 1257

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.039 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my