KENYATAAN MEDIA BERKENAAN PENGASINGAN PERANAN PEGUAM NEGARA DAN PENDAKWA RAYA
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

      KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA BERKENAAN PENGASINGAN PERANAN PEGUAM NEGARA DAN PENDAKWA RAYA

 

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya Dan Reformasi Institusi, Parlimen Kelimabelas

 

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi telah menjalankan prosiding pertama berkenaan pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada 26 Oktober 2023 yang lalu. Prosiding ini bertujuan memahami keperluan kepada pengasingan kuasa dan memberikan cadangan kepada Kerajaan berkaitan penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada.

Jawatankuasa ini juga menzahirkan sokongan penuh atas usaha dan komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan usaha reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti dalam ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said di Sidang Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023 yang lalu.

Prosiding Jawatankuasa ini dibahagikan kepada dua sesi dan telah dihadiri oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa berikut :

  1. YB Tuan William Leong Jee Keen (Selayang) selaku Pengerusi Jawatankuasa;
  2. YB Tuan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka);
  3. YB Puan Isnaraissah Munirah binti Majilis@Fakharudy (Kota Belud);
  4. YB Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim (Arau);
  5. YB Tuan Zahari bin Kechik (Jeli); dan
  6. YB Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh (Besut).

 

Pada sesi pertama, Jawatankuasa ini telah mengadakan perjumpaan bersama  Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang dipengerusikan oleh YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh  (Ledang) bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap usaha reformasi ini.

Pada sesi kedua, Jawatankuasa ini telah mengadakan perjumpaan bersama pertubuhan bukan kerajaan iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Institute For Democracy and Economic Affairs (IDEAS) bagi mendapatkan informasi lanjut berkaitan usaha reformasi ini.

Asas-asas yang ingin diteliti dan difahami oleh Jawatankuasa dalam prosiding ini antaranya ialah:

  1. Alasan-alasan pemisahan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Peguam Negara adalah Penasihat Kerajaan di bawah Perkara 145(2) dan sebagai Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan;

 

  1. Masalah dan cabaran bagi pemisahan peranan Pendakwa Raya daripada peranan Peguam Negara dan model yang sesuai untuk diamalkan di Malaysia; dan

 

  1. Cadangan-cadangan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkaitan jika pemisahan kuasa tersebut dijalankan.

Asas-asas ini penting bagi membentuk pemahaman menyeluruh dalam usaha reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan seterusnya membolehkan Jawatankuasa ini memuktamadkan syor-syor kepada Kerajaan dalam penambahbaikan sistem sedia ada sekali gus memacu perubahan reformasi institusi dalam landskap negara ini.

Bagi prosiding seterusnya, Jawatankuasa ini akan mengadakan perjumpaan bersama badan-badan dan agensi-agensi yang berikut:-

  1. Badan Peguam Malaysia;
  2. Sabah Law Society;
  3. The Advocates Association of Sarawak;
  4. Pengamal Undang-Undang Jenayah;
  5. Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri; dan
  6. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai penutup dan pelengkap kepada prosiding ini, Jawatankuasa ini akan menjemput Barisan Peguam Pembelaan YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Peguam Negara Malaysia, dan bekas Peguam Negara bagi mendapatkan penerangan khususnya cadangan dan implikasi pemisahan kedua-dua peranan tersebut.

Sekian, terima kasih.

 

William Leong Jee Keen
Pengerusi,
Jawatankuasa Pilihan Khas
Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (Ahli Parlimen Selayang)


Kemaskini terakhir pada: 1 November 2023 | Hits: 1112

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.031 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my