Kenyataan Media Jasa Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud Sebagai “Bapa Pemodenan Sarawak” Adalah Legasi Kepada Sarawak
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

      KENYATAAN MEDIA
 

JASA TUN PEHIN SRI HAJI ABDUL TAIB MAHMUD SEBAGAI “BAPA PEMODENAN SARAWAK” ADALAH LEGASI KEPADA SARAWAK

 

21 Februari 2024, Kuala Lumpur Pagi ini kita telah mendapat berita amat sedih tentang pemergian Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, tokoh ulung dan pemimpin yang mengabdikan hidupnya untuk perkhidmatan kepada Sarawak dan negara. Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah meninggal dunia pada hari ini, 20 Februari 2024, pada usia 87 tahun. Sepanjang karier gemilangnya selama lebih enam dekad, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah membuat sumbangan yang signifikan kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak, meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah negeri ini dan kehidupan rakyatnya.

Secara peribadi, saya amat terhutang budi kepada Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, yang memulakan perjalanan politik saya semasa beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1981. Pada usia yang masih muda, 27 tahun, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah meletakkan kepercayan beliau kepada saya, seorang graduan baru, untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen bagi Bukit Mas, yang kini dikenali sebagai Lawas dan Limbang. Keyakinan beliau terhadap saya didokong dengan bimbingan, sokongan, dan bantuan yang padu, membolehkan saya berkhidmat dengan tekun kepada rakyat di kawasan saya sehingga tahun 1990.

Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud adalah merupakan figura bapa bagi kami para ahli politik muda pada zaman itu, beliau sentiasa mudah didekati dan dan sentiasa menyokong kami dalam hal-hal yang berkaitan dengan kawasan Parlimen kami, urusan politik, dan juga perkara peribadi. Sifat beliau yang mesra dan mudah didekati ini turut dizahirkan kepada semua yang berada di sekelilingnya, tanpa mengira status.

Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghormatan dan perhargaan kepada beliau di dalam pelbagai aspek pembangunan untuk Sarawak. Sebagai seorang negarawan yang bersemangat tinggi dalam bidang pendidikan, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah menubuhkaninstitusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, yang membawa kepada era kemajuan pendidikan, peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih luas untuk rakyat Sarawak. Di bawah pimpinannya, Kota Samarahan telah berubah menjadi pusat pendidikan Sarawak, memfasilitasi penubuhan pelbagai institut latihan dan kolej untuk melengkapi rakyat Sarawak dengan pelbagai kemahiran.

 

Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud juga berperanan penting dalam memperkasakan pembangunan luar bandar dengan mengenal pasti kawasan untuk infrastruktur dan kemudahan asas. Pencapaian beliau termasuk penubuhan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) untuk mengoptimalkan penggunaan sumber minyak dan gas Sarawak, serta penubuhan bahagian pentadbiran baharu seperti Mukah, Betong, dan Samarahan, disamping inisiatif pembangunan di sekitar bandar-bandar Kuching dan Miri. Beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai taman perindustrian, termasuk Taman Perindustrian Samajaya, Taman Perindustrian Demak Jaya, Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Perindustrian Tanjung Manis. Pembangunan taman perindustrian ini bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan keseluruhan kawasan sekitarnya. Selain itu, beliau juga menubuhkan Sarawak Corridor of Renewable Energy ("SCORE") pada tahun 2008, sebuah kawasan ekonomi dan koridor pembangunan yang merangkumi kawasan sentral Sarawak. Penubuhan SCORE adalah inisiatif strategik yang diambil oleh Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud bagi membentuk asas bagi Sarawak untuk memanfaatkan sumber semula jadi, menggalakkan pembangunan mampan, dan menempatkan kawasan tersebut sebagai pemain utama dalam ekonomi global. Di bawah pimpinannya sebagai Ketua Menteri, Sarawak telah memulakan era dan perjalanan industrialisasi.

Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud juga memimpin usaha transformasi dalam sektor utama seperti kayu, kelapa sawit, dan hutan. Beliau menubuhkan beberapa badan berkanun seperti Lembaga Tanah dan Pembangunan (LCDA), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), dan Sacofa Sdn Bhd, sambil memperluaskan peranan dan fungsi badan-badan sedia ada seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA). Kehilangan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud adalah satu kerugian besar bagi Sarawak dan negara. Kepemimpinan beliau yang berwawasan, dedikasi kepada perkhidmatan awam, dan usaha tanpa lelah untuk meningkatkan kehidupan rakyat Sarawak akan terus diingati dan dihargai oleh generasi akan datang.
 

Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah meninggalkan kita dengan warisan kemajuan, pembangunan, dan perpaduan, memberi inspirasi kepada semua untuk terus memajukan negeri Sarawak dan rakyatnya. Saya memanjatkan doa dan ingatan kepada keluarga beliau, rakyat Sarawak, dan semua yang merasai pemergian beliau. Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan sentiasa hidup di dalam hati kita semua, meninggalkan legasi yang tidak ternilai sebagai "Bapa Permodenan Sarawak".

 

DATUK MUTANG TAGAL
Yang di-Pertua Dewan Negara
21 Februari 2024

Pertanyaan Media:

Norhayati Abd Manaf, Setiausaha Akhbar
Tel: +6012 – 393 5075 / Email: norhayati@parlimen.gov.my Ref No: PAR/YPDN/AM.23 (22)


Kemaskini terakhir pada: 21 Februari 2024 | Hits: 973

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.033 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my