Kenyataan Media Lawatan Kerja Ke Australia Berhubung Cadangan Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat Di Malaysia, 26 Februari Hingga 1 Mac 2024
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

     KENYATAAN MEDIA 

LAWATAN KERJA KE AUSTRALIA BERHUBUNG CADANGAN PENGGUBALAN AKTA KEBEBASAN MAKLUMAT DI MALAYSIA,

26 FEBRUARI HINGGA 1 MAC 2024

BERTEMPAT DI SYDNEY & CANBERRA, AUSTRALIA


 

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi telah menghantar 2 orang Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini mewakili delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Australia. Lawatan kerja ini adalah bagi menyusuli cadangan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat di Malaysia yang dihasratkan untuk dibentangkan di Parlimen pada Oktober/November tahun 2024.

Ianya adalah selaras dengan keputusan Kerajaan yang telah dibuat melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10 pada 14 September 2023 yang telah bersetuju secara prinsip supaya Akta Kebebasan Maklumat (FOI) digubal di peringkat kebangsaan dengan mewujudkan skop, parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan Kerajaan. Pada masa yang sama, Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dikekalkan dan akan turut dipinda bagi membolehkan kedua-dua perundangan ini saling melengkapi.

Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat atau lebih dikenali sebagai FOI ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani dalam memastikan orang awam diberi hak untuk mendapatkan maklumat yang dipegang oleh badan awam atau pihak Kerajaan, dengan beberapa pengecualian yang akan ditetapkan berdasarkan standard amalan di peringkat antarabangsa dan juga mengikut acuan Malaysia.

Penyertaan lawatan kerja ke Australia ini turut disertai oleh wakil daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Digital Negara (JDN), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU,JPM).

Lebih uniknya dalam lawatan ini, ia turut melibatkan penyertaan 2 orang wakil dari pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4) serta turut diiringi oleh wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri & Perdagangan Australia (DFAT).

 

Objektif dan matlamat lawatan ini diadakan adalah untuk:

 

  1. Meningkatkan kefahaman yang lebih baik tentang cara Freedom Of Information Act (FOI) berfungsi dan dilaksanakan di Australia;
  2. Memahami struktur pelaksanaan rangka kerja perundangan FOI di Australia dan mekanisme yang menyokong kewajipan pendedahan maklumat;
  3. Memahami cara agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan negara di Australia terlibat dalam menjayakan pelaksanaan FOI; dan
  4. Mempelajari tentang model penubuhan dan fungsi The Office of the Australian Information Commissioner (OAIC) yang juga bertanggungjawab sebagai badan pengawal terhadap perkongsian maklumat serta dalam masa yang sama, turut melindungi keselamatan data peribadi di Australia.

 

Secara keseluruhannya, cadangan Akta FOI ini adalah satu langkah penting ke arah reformasi insititusi, menjadikan pentadbiran Kerajaan yang lebih telus dan terbuka, meningkatkan kepercayaan rakyat kepada tadbir urus Kerajaan serta mengangkat martabat demokrasi melalui pemberian hak akses maklumat kepada rakyat.


Dalam lawatan tersebut, delegasi Malaysia telah mengadakan sesi perjumpaan, mesyuarat dan perbincangan dengan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Australia, perjumpaan dengan badan bukan Kerajaan serta perjumpaan dengan tokoh-tokoh reformasi institusi di Australia iaitu Profesor John McMillan dan John Faulkner.

 

Selain itu, turut diadakan perjumpaan serta perbincangan bersama Peguam Negara Australia dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Pejabat Ketua Pesuruhjaya Maklumat Australia, Commonwealth Ombudsman, Law Council of Australia, Centre of Public Integrity, Administrative Appeal Tribunal dan perbincangan meja bulat bersama wakil jabatan yang berkaitan dengan penguatkuasaan, keselamatan dan pertahanan di Australia.

Saya selaku Ketua Delegasi bagi lawatan ini ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya Kerajaan Australia melalui Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia di atas segala layanan, kerjasama, bantuan penyelarasan dan pembiayaan penyertaan wakil-wakil di kalangan agensi Kerajaan dan penyertaan CSO/NGO. Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia iaitu Puan Yang Terutama Ambasador Sharrina Abdullah atas layanan, bantuan dan kerjasama yang diberikan. Selain itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) yang merupakan Agensi peneraju ke atas penggubalan Akta FOI ini atas usaha yang diberikan kepada kami untuk mendapatkan pendedahan mengenai Akta Kebebasan Maklumat.

 

Dalam hal ini, saya dan Yang Berhormat Tuan Zahari Kechik menyokong penuh hasrat Kerajaan dalam usaha menggubal Akta ini di Malaysia dan bercadang untuk membawa isu ini ke dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk perbincangan bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa Mesyuarat yang lain.

Kami berharap agar usaha untuk menterjemahkan cadangan ini kepada tindakan praktikal akan membawa kepada pentadbiran Kerajaan yang lebih telus dan terbuka di Malaysia. Usaha ini adalah penting untuk mempromosikan tadbir urus yang cekap, memperkukuhkan demokrasi dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi Kerajaan. Dengan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat ini, Malaysia dapat mempamerkan komitmennya terhadap usaha reformasi dan penambahbaikan integriti, seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan kecekapan pentadbiran Kerajaan serta memastikan hak-hak rakyat sentiasa dijunjung.

Sekian, terima kasih.

 

 

YB Khoo Poay Tiong (Ketua Delegasi)
Ahli Parlimen Kota Melaka merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi
YB Zahari bin Kechik (mewakili Ahli Parlimen Pembangkang)

Ahli Parlimen Jeli merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi
18 Mac 2024


Kemaskini terakhir pada: 18 Mac 2024 | Hits: 480

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.032 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my