KENYATAAN MEDIA OLEH JAWATANKUASA PILIHAN KHAS HAK ASASI MANUSIA, PILIHAN RAYA DAN REFORMASI INSTITUSI
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

  

      SIARAN MEDIA

       

KENYATAAN MEDIA OLEH JAWATANKUASA PILIHAN KHAS HAK ASASI MANUSIA, PILIHAN RAYA DAN REFORMASI INSTITUSI

 

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi telah mengadakan prosiding pertama hari ini dalam penyiasatan terhadap isu-isu berkaitan dengan undang-undang imigran-imigran larangan seperti yang termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan proses-proses Not-To-Land. Tujuan utama siasatan ini dilakukan adalah untuk memahami kekangan kepada undang-undang sedia ada dan memberikan cadangan kepada kerajaan berkaitan penambahbaikan kepada undang-undang atau pindaan kepada akta tersebut dan pengendalian proses Not-To-Land. Sesi pertama yang diadakan pada hari ini telah dihadiri oleh:

1) YB William Leong Jee Keen (Selayang) selaku Pengerusi Jawatankuasa ini;

2) YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem (Serian);

3) YB Tuan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka); dan

4) YB Tuan Zahari bin Kechik (Jeli).

 

Sesi pertama prosiding ini, Jawatankuasa ini telah memanggil wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan juga wakil daripada Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA) bagi memberikan penerangan terhadap isu-isu berkaitan. Asas-asas yang ingin disentuh dan difahami oleh Jawatankuasa di dalam sesi pertama prosiding ini adalah:

1) Fakta-fakta berkaitan dengan kejadian di KLIA pada 29 Jun 2023 (Khamis) yang lalu;

2) Kekangan berkaitan pengendalian proses Not-To-Land serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis Not-To-Land;

3) Aduan-aduan daripada orang awam dan sebarang organisasi berkaitan Akta 155 dan proses-proses Not-To-Land yang telah diterima oleh MOTAC dan MATTA; dan

4) Cadangan kepada penambahbaikan kepada undang-undang atau pindaan kepada Akta 155 serta sistem sedia ada. Asas-asas ini penting bagi membentuk pemahaman menyeluruh tentang isu sedia ada dan seterusnya merangka cadangan kepada Kerajaan dalam penambahbaikan sistem serta undang-undang sedia ada.

 

Walau bagaimanapun, MOTAC tidak dapat menghantar mana-mana wakil bagi memberikan penerangan kepada Jawatankuasa ini. Adalah dimaklumkan bahawa
YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah mempunyai komitmen yang tidak dapat dielakkan pada waktu prosiding yang telah dijadualkan. Beliau juga dinasihatkan oleh peguam beliau bahawa adalah tidak sesuai untuk mengeluarkan sebarang kenyataan kerana insiden yang berlaku di KLIA pada 29 Jun 2023 adalah masih di dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jawatankuasa ini menegaskan bahawa prosiding ini tidak akan menyentuh mana-mana siasatan jenayah. Siasatan tersebut akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau PDRM selaku badan yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan. Oleh itu, tidak wujud pertindihan siasatan di antara Jawatankuasa ini dan SPRM atau PDRM.

 

Prosiding pada hari ini telah mendengar penerangan daripada pihak MATTA yang diwakili oleh:

1) Encik Nigel Wong (Presiden);

2) Datuk Tan Kok Liang (Bekas Presiden);

3) Datuk Hamzah Rahmat (EXCO Kerja Khas);

4) Encik Mohd Hizzat Bin Mohd Shah (Naib Presiden bagi Penyelidikan dan Teknologi) ; dan

5) Puan Maziah Mihat (Pengurus Besar).

Jawatankuasa ini memutuskan bahawa adalah menjadi keperluan MOTAC hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa ini mengenai isu-isu berkaitan pengendalian proses Not-To-Land serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis Not-To-Land pada mesyuarat yang akan ditetapkan kelak.

 

Prosiding seterusnya akan dijadualkan pada 26 Julai 2023 (Rabu) dan akan dibahagikan kepada dua (2) sesi. Jawatankuasa akan mendengar penerangan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airports Holding (MAHB), seterusnya disusuli oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Sekian, terima kasih.

 

 


Kemaskini terakhir pada: 24 Julai 2023 | Hits: 1241

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.033 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my