Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen Kelima Belas.
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

      KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen Kelima Belas.

 

Saya, YB William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang dan mewakili Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) ingin menzahirkan setinggi - tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) atas inisiatif beliau dalam menubuhkan dua Pasukan Petugas (Task Force) bagi meneliti dan mengkaji cadangan untuk memisahkan Pendakwa Raya daripada pejabat Peguam Negara.

Saya juga menghargai inisiatif yang diambil oleh Yang Berhormat Menteri untuk turut melibatkan ahli-ahli JKPK ini dalam Pasukan Petugas tersebut. Saya percaya bahawa JKPK ini yang diwakili oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak Kerajaan dan Pembangkang dapat menyumbang secara konstruktif terhadap cadangan tersebut. Inisiatif untuk turut melibatkan Ahli Parlimen dalam Pasukan Petugas tersebut juga akan secara tidak langsung menandakan perkembangan yang sihat terhadap demokrasi berparlimen di Malaysia, terutamanya berkaitan dengan isu-isu reformasi institusi.

Pada kesempatan ini, penting untuk saya jelaskan bahawa JKPK ini tidak pernah mengeluarkan sebarang saman (summon) kepada Peguam Negara dan bekas Peguam Negara ke JKPK ini. Sebaliknya, JKPK ini atas dasar ketulusan, hanya akan menjemput mereka untuk turut terlibat dalam mesyuarat JKPK ini. JKPK ini menyedari dan menghormati kuasa Peguam Negara dalam menjalankan budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, undangan kepada mereka adalah untuk membantu JKPK ini memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutamanya berkaitan kes-kes berprofil tinggi apabila Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang utama kepada Kerajaan dan pada masa yang sama, sebagai pendakwa raya seperti yang telah digariskan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah, khususnya berkaitan dengan implikasi dan cadangan terhadap pemisahan kedua-dua peranan dan tugas tersebut.

JKPK ini akan turut menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan lain-lain untuk menghadiri mesyuarat JKPK.

Pada masa yang sama, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk merujuk skop dasar bagi Rang Undang-Undang Sumbangan Politik (RUU) kepada JKPK ini.

Sehubungan itu, JKPK ini akan melihat serta mengkaji terhadap cadangan bagi Akta Pembiayaan Politik (Political Financing Act) bagi terus memastikan bahawa institusi demokrasi di Malaysia bebas daripada kegiatan yang tidak sihat dan tidak berdemokrasi.

 

Sekian, Terima kasih.

 

William Leong Jee Keen

Pengerusi,

Jawatankuasa Pilihan Khas

Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (Ahli Parlimen Selayang)


Kemaskini terakhir pada: 14 September 2023 | Hits: 1014

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.032 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my