PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
KENYATAAN MEDIA
ISU BANTUT DAN OBES KANAK-KANAK MEMBIMBANGKAN
OLEH
YANG BERHORMAT TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT
PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESIHATAN
DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15
Malpemakanan adalah merujuk kepada seseorang yang mengalami kekurangan, berlebihan atau ketidakseimbangan nutrisi makanan. Kekurangan pemakanan boleh menyebabkan kanak-kanak bantut, susut badan dan kurang berat badan.
Pemakanan secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh menyebabkan obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD). Statistik pada tahun pada 2022 menunjukkan kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun mengalami masalah bantut (21.2%), kurang berat badan (15.3%), susut (11%) dan berlebihan berat badan, (6%). Manakala, statistik pada tahun 2019, kanak-kanak yang berumur 5 hingga 17 mengalami masalah berlebihan berat badan (15%), obes (14.8%), bantut (12.7%) dan kurus (10%).
Statistik pada tahun 2017, remaja yang berumur 10 hingga 17 tahun mengalami masalah berlebihan berat badan (15.6%), obes (14.8%), bantut (8.2%) dan kurus (6.6%). Bagi aspek amalan pemakanan remaja yang berumur 10 hingga 17 tahun tahun pada 2017, 92 peratus tidak cukup makan sayur sehari, 67 peratus tidak cukup makan buah sehari dan 70 peratus tidak makan sarapan pagi. Angka-angka terkini belum dikeluarkan sepenuhnya tetapi dijangka lebih serius. Ianya membimbangkan jika tiada langkah pencegahan mulai sekarang.
Kanak-kanak akan sentiasa terdedah dengan iklan, hadiah dan makanan yang tidak sihat tanpa kawalan. Semasa ibu bapa membawa anak-anak ke pasar raya, majlis kenduri kahwin dan restoran tanpa sedar telah menyediakan anak mereka makanan yang tidak sihat. Amalan ini boleh menyebabkan ancaman kepada kesihatan anak mereka 20 tahun akan datang.
Terdapat 3 objektif Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak Malaysia (2023-2030), Kementerian Kesihatan Malaysia. Pertama adalah mengurangkan masalah bantut dan susut dalam kalangan kanak-kanak. Kedua adalah mengekalkan atau mengurangkan masalah berlebihan berat badan dan obes dalam kalangan kanak-kanak dan ketiganya adalah meningkatkan kualiti amalan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.
Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas memerangi masalah beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak melibatkan tujuh belas kementerian dan dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan bertindak sebagai urus setia. Akta Pemakanan Malaysia akan digubal dan bakal diwartakan pada tahun 2027. Akta ini adalah bertujuan untuk mengawal nutrisi makanan rakyat khususnya kanak-kanak.
24 OKTOBER 2024
Kemaskini terakhir pada: 24 Oktober 2024 | Hits: 548