Kenyataan Media Yb Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains Dan Perladangan Dewan Rakyat Parlimen Ke-15
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

         KENYATAAN MEDIA  

   

         YB DATUK HAJI AHMAD AMZAD BIN HASHIM

          PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS

           ALAM SEKITAR, SAINS DAN PERLADANGAN

          DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15

 

 

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2024 - Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Alam Sekitar dan Perladangan telah membentangkan dua penyata iaitu Penyata Pengurusan Sisa Lynas (D.R. 13 Tahun 2024) dan Penyata Pengurusan Ancaman Hidupan Liar (D.R. 14 Tahun 2024) pada 26 Mac 2024. Penyata ini juga boleh didapati melalui laman web Parlimen Malaysia.

Penyata Pengurusan Sisa Lynas melibatkan tiga mesyuarat yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia Malaysia (JAS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pakar-pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan YB Senator Hajah Fuziah binti Salleh. Selain itu, Jawatankuasa turut mengadakan lawatan ke Lynas Malaysia di Kuantan, Pahang.

Antara isu-isu yang telah dibincangkan adalah berkaitan pengurusan sisa Lynas yang merangkumi isu-isu seperti pemantauan JAS terhadap Lynas, permohonan Lynas untuk menggunakan yang sisa yang terhasil seperti Neutralisation Underflow (NUF) sebagai bahan tambahan di dalam simen dan perapi tanah (CondiSoil) di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual).

Jawatankuasa turut mendengar dan membincangkan mengenai kajian CondiSoil iaitu campuran bagi sisa NUF, Water Leached Purification (WLP), dan organic filler yang telah dijalankan oleh MARDI untuk melihat keberkesanan CondiSoil terhadap kesuburan tanah dan tanaman. Selain itu, terdapat perbincangan mengenai penyelidikan dan pengkomersialan sisa Lynas seperti penggunaan NUF di ladang kelapa sawit dan tanaman getah dan CondiSoil digunakan untuk merawat tanah BRIS yang bermasalah di Malaysia. Jawatankuasa juga turut mendengar kajian mengenai pengekstrakan torium daripada sisa WLP, syarat-syarat perlesenan yang telah dikeluarkan kepada Lynas Malaysia serta isu-isu berbangkit.

Antara syor-syor yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa mengenai Pengurusan Sisa Lynas adalah seperti berikut:

  1. Untuk diwujudkan piawaian kebangsaan bagi mengkategorikan status pencemaran tanah.
  2. NUF digunakan bagi tujuan pertanian berdasarkan kesimpulan kajian yang telah dijalankan mendapati tiada kesan buruk kepada alam sekitar dan terdapat peningkatan bagi hasil tanaman.
  3. Berdasarkan kesimpulan data kajian yang diperoleh adalah sangat penting bagi kerajaan untuk membuat keputusan mengenai penggunaan NUF.
  4. Kajian kebolehlaksanaan dijalankan bagi memastikan kilang pemprosesan yang dibina berdaya maju.
  5. Fasiliti bagi pengurusan sisa radioaktif perlu diwujudkan oleh pengeluar seperti peruntukkan dalam Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dan lain-lain akta yang berkaitan.
  6. Kepakaran berkenaan nadir bumi di Lynas digunakan sebagai persiapan bagi industri nadir bumi di Malaysia.
  7. Penyelesaian bagi pengurusan sisa Lynas dipertimbangkan berdasarkan kajian saintifik yang telah dijalankan, memandangkan sisa Lynas akan terus meningkat setelah lesen Lynas terus disambung sehingga 2026.
  8. Pemantauan berterusan dijalankan oleh Kerajaan terhadap Lynas bagi memastikan syarat-syarat perlesenan dipatuhi.

Selain itu, Jawatankuasa turut membentangkan satu lagi penyata berkaitan Pengurusan Ancaman Hidupan Liar. Penyata ini telah dikeluarkan selepas libat urus yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia. Antara isu-isu yang telah dibincangkan adalah seperti ancaman Gajah Liar di kawasan ladang dan serangan ke atas manusia, ancaman Kera ke atas manusia dan tindakan yang telah diambil oleh Jabatan PERHILITAN seperti Program Pemandulan Kera dan penakaian ke atas Kera bermasalah, ancaman Babi Hutan membabitkan pengeluaran lesen menembak Babi Hutan dan ancaman penyakit berjangkit seperti penyakit African Swine Fever (ASF) dan penyakit Canine Distemper Virus (CDV). Jawatankuasa turut mengambil maklum masalah kekurangan kakitangan yang dihadapi oleh  Jabatan PERHILITAN dalam usaha menangani masalah ancaman hidupan liar.

Antara syor-syor yang telah dilkemukakan oleh Jawatankuasa adalah seperti berikut:

  1. Penyelarasan antara pembukaan ladang dan pengurusan habitat hidupan liar dapat dilaksanakan.
  2. Pandangan daripada Jabatan PERHILITAN perlu diambil kira sebelum pembukaan ladang dilaksanakan.
  3. Polisi bersepadu perlu diwujudkan bagi memelihara dan memulihara habitat hidupan liar dan tindakan undang-undang perlu diambil kepada mana-mana pihak yang menceroboh kawasan tersebut.
  4. Inisiatif bagi menjinakkan hidupan liar perlu diperkenalkan oleh Jabatan PERHILITAN dan dikembangkan sebagai satu bidang kepakaran, contohnya, mahout Gajah.
  5. Pemeliharaan kawasan habitat untuk hidupan liar perlu diimbangi antara keperluan manusia (seperti pembukaan ladang dan perumahan) dan habitat hidupan liar.
  6. Jawatankuasa mengambil serius isu ancaman Kera yang sedang berlaku di dalam negara dan mengesyorkan satu kajian perbandingan pengurusan ancaman Kera di negara lain supaya langkah drastik perlu diambil untuk mengatasinya.
  7. Program jangka pendek, sederhana dan panjang perlu diadakan bagi meningkatkan kemahiran penduduk setempat dan kakitangan Jabatan PERHILITAN.

Jawatankuasa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat yang telah memberikan kerjasama dengan mengemukakan pandangan serta cadangan yang berkaitan mengenai Pengurusan Sisa Lynas Malaysia.

Saya juga ingin berterima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa ini yang telah memberikan komitmen sepenuhnya serta mengemukakan pertanyaan dan pandangan yang bernas semasa mesyuarat dijalankan. Jawatankuasa mengambil serius isu-isu yang kerap kali dibangkitkan berkaitan alam sekitar, sains dan perladangan. Jawatankuasa  akan terus memainkan peranan sebagai mekanisma semak dan imbang kepada eksekutif dalam meneliti semua dasar kementerian yang berkaitan dan membincangkan isu semasa.


Kemaskini terakhir pada: 26 Mac 2024 | Hits: 383

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 26/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.033 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my