Isnin, 12 Januari 2014 - Parlimen Belia Malaysia (PBM) telah bersidang buat kali pertamanya pada 10 hingga 11 Januari 2015 di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia. Seramai 133 Ahli Perwakilan Belia Malaysia (APBM) yang telah dipilih dan dilantik serta menghadiri persidangan PBM ini. Persidangan tersebut bermula pada jam 10.00 pagi hingga 5.30 petang.
Barisan Ahli Perwakilan Belia Malaysia (APBM) bersiap-sedia untuk bersidang buat kali pertama di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia.
Secara amnya, pelaksanaan PBM adalah bertujuan untuk melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar dengan keperluan negara masa kini dan masa hadapan. Secara spesifik, objektif PBM adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan di kalangan generasi Y demi penerusan kepimpinan negara jangka panjang. Selain itu,PBM juga dapat memberi pendedahan kepada belia bagaimana proses undang-undang dibuat serta memahami sistem pentadbiran negara dan dapat mengenal pasti trend belia untuk disesuaikan dengan pembentukan polisi pentadbiran negara.
YB Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee(Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat) telah memainkan peranan sebagai Yang di-Pertua Persidangan Perwakilan Parlimen Belia dan YBhg. Datuk Roosme Hamzah (Setiausaha Dewan Rakyat) bertindak sebagai Setiausaha Persidangan Perwakilan Parlimen Belia Malaysia.
Sebelum bersidang, semua APBM telah menghadiri Pra-persidangan yang diadakan pada 8 hingga 9 Januari 2015 bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur yang mana perbahasan di peringkat jawatankuasa dilaksanakan bagi mengenalpasti 3 cadangan usul yang terbaik bagi setiap jawatankuasa yang terlibat seperti :
i. Jawatankuasa Sosioekonomi;
ii. Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik;
iii. Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti;
iv. Jawatankuasa Pendidikan dan Kerjaya;
v. Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integrasi;
vi. Jawatankuasa Prasana, Pembangunan dan Alam Sekitar;
vii.Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan;
viii.Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan; dan
ix. Jawatankuasa Teknologi dan Inovasi.
Salah seorang Ahli Perwakilan Belia Malaysia dari Negeri Selangor telah membentangkan usul kepada para perwakilan
Tiga (3) cadangan usul yang telah dipilih diperingkat jawatankuasa akan dibentangkan dikalangan perwakilan bagi memilih usul-usul terbaik untuk dibahaskan di persidangan kelak. Di samping itu, sebanyak sembilan (9) daripada 30 usul yang dicadangkan telah dipilih oleh PBM untuk dibentang dan dibahaskan semasa Persidangan Sidang I yang telah diadakan pada 10 hingga 11 Januari 2015. Konsep persidangan adalah berbeza daripada Persidangan Parlimen sebenar yang mana perbahasan mengikut jawatankuasa masing-masing.
Kesimpulannya, Kementerian Belia dan Sukan berharap wakil PBM mampu membawa suara belia diperingkat akar umbi kepada pihak kerajaan untuk diambil tindakan yang sewajarnya. Idea dan pandangan perwakilan PBM ini mampu menyumbang kepada pihak kerajaan untuk merangka program pembangunan belia yang bersesuaian. Selain daripada itu, APBM ini mempunyai kualiti sebagai pemimpin dan boleh digilap potensinya untuk menjadi pemimpin pelapis.