PROGRAM TINJAUAN MESRA DAN PERASMIAN PERPUSTAKAAN PARLIMEN OLEH YAB PERDANA MENTERI
control 1control 2control 3


Selasa, 25 Ogos 2020 - YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri hari ini telah melakukan tinjauan mesra ke Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia. Turut mengiringi YAB Perdana Menteri ialah YB Datuk Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan YB Dato’ Takiyuddin bin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Program bermula dengan sesi taklimat ringkas oleh YBhg. Datuk Kamis bin Samin, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia di Aras 2, disusuli dengan tinjauan ke Aras 3 yang menempatkan bilik-bilik kementerian. YAB Perdana Menteri seterusnya meninjau kemudahan yang disediakan di Aras 1 yang menempatkan gymnasium dan bilik-bilik Ahli Parlimen. Seterusnya, YAB Perdana Menteri merasmikan Perpustakaan Parlimen dan melawat Pameran bertemakan PARLIMEN: CITRA PERUNDANGAN MALAYSIA.

Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran mula dibina pada bulan September 2015 dan siap sepenuhnya pada bulan Januari 2020. Antara kemudahan-kemudahan baharu yang disediakan di blok ini termasuklah perpustakaan, surau, mini auditorium, gimnasium dan sauna. Terdapat juga 67 unit bilik Ahli Parlimen dan 35 unit bilik kementerian. Kesemua bilik kementerian dan bilik Ahli Parlimen dilengkapi sistem siar raya dengan tiga saluran iaitu untuk Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Tuner & Override, selain dilengkapi kemudahan WIFI dan 18 saluran televisyen dan 6 saluran radio.

Manakala Perpustakaan Parlimen adalah suatu pusat sumber rujukan penting dalam urusan perundangan, parlimen, pentadbiran kerajaan dan pentadbiran awam bagi menyokong keperluan penyelidikan Ahli-ahli Parlimen dan warga Parlimen ke arah pembelajaran sepanjang hayat. Sebelum ini Perpustakaan Parlimen ditempatkan di Blok Utama, kompleks Parlimen dan kini ia dipindahkan ke Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan kemudahan-kemudahan yang lebih selesa seperti Bilik Bacaan dan Bilik Karel Ahli Parlimen.

Perpustakaan Parlimen mempunyai lebih 43,114 jumlah koleksi yang antara lain merangkumi dokumen-dokumen asal seperti Perundangan Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Penyata Rasmi Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Aturan Urusan Mesyuarat, Rang Undang-Undang, Akta-akta, Kertas Statut, Kertas Perintah, Laporan Jawatankuasa-Jawatankuasa, Enakmen, Ordinan dan Warta Kerajaan. Selain itu, Perpustakaan Parlimen juga mempunyai koleksi monograf, koleksi jurnal dan koleksi keratan akhbar.

Pameran PARLIMEN: CITRA PERUNDANGAN MALAYSIA pula merupakan ilustrasi bergambar mengenai Parlimen bagi memperkenalkan kepentingan dan kedaulatan Institusi Perundangan ini kepada ahli-ahli Parlimen dan masyarakat Malaysia secara umumnya.

Pameran ini diolah kepada enam (6) segmen utama iaitu Menelusuri Sejarah, Citra Perundangan, Koleksi Tinta Emas, Diplomasi dan Hubungan Luar Negara, Tuan Yang di-Pertua dan Ketua Majlis serta Menteri Parlimen. Tiga objektif pameran ini adalah untuk (i) mempromosi peranan dan keistimewaan Parlimen dalam pentadbiran Malaysia, (ii) memberi pendedahan mengenai struktur pentadbiran dan keanggotaan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, dan (iii) meningkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan Ahli-ahli Parlimen dan masyarakat mengenai kepentingan Parlimen dalam pentadbiran Malaysia. -- PARLIMEN MALAYSIA


Kemaskini terakhir pada: 8 Disember 2020 | Hits: 3416

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 19/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.035 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my