KUALA LUMPUR: 28 Februari 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Parlimen Malaysia.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri, YB Senator Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dengan istiadat yang penuh dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Diantara intipati titah Tuanku adalah mengenai kedudukan negara yang berada di kedudukan ke-13 dari 122 buah negara dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98% populasi dewasa. Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baru, Baginda menyarankan agar rakyat untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan.
Baginda turut bertitah Ekonomi Malaysia pada tahun 2021 telah berkembang sebanyak 3.1% setelah mengalami penguncupan sebanyak 5.6% pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19. Bagi tahun 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara diunjurkan terus berkembang kukuh antara 5.5% hingga 6.5%.
Dalam membina sebuah negara bangsa yang telus dan berintegriti, Tuanku memandang serius tentang isu rasuah yang berlaku. Baginda percaya kepada pelaksanaan dasar dan inisuatif Pelan Antirasuah Nasional menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.
Seterusnya Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan di atas taat setia dan sumbangan ikhlas kepada semua petugas barisan hadapan negara serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia negara aman dan makmur. Sumbangan mereka ini boleh diibaratkan sebagai beyond the call of duty, Baginda berharap semua penjawat awam terus komited, berdedikasi dan fokus demi kesejahteraan rakyat serta meminta kerajaan agar menjaga kebajikan Perkhidmatan awam termasuk yang telah bersara. --- BAHAGIAN KOMUNIKASI PARLIMEN MALAYSIA
Sila klik link tersebut untuk koleksi gambar https://www.parlimen.gov.my/galeri-details.html?id=1451&time=1
Kemaskini terakhir pada: 16 Jun 2022 | Hits: 2243