1.

Apakah fungsi Parlimen?

 

Parlimen adalah badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan yang melulus dan meminda undang- undang Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan bajet kerajaan dan cadangan cukai yang baru.
 

2.

Bilakah Parlimen bersidang untuk kali pertama?

 

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama telah diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang yang kini dikenali sebagai Pusat Pelancongan Malaysia atau MaTiC.

 

3.

Bilakah bangunan Parlimen Malaysia dirasmikan?

 

Bangunan Parlimen telah dirasmikan pada 2 November 1963.

 

4.

Berapakah bilangan Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat?

 

Bilangan Ahli Dewan Negara adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan iaitu tidak melebihi daripada 70 orang ahli pada satu-satu masa, dengan kadarnya seperti berikut:

  • dua (2) orang ahli bagi setiap negeri yang dipilih mengikut Jadual Ketujuh;
  • dua (2) orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya;
  • empat puluh (40) orang ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

Tempoh jawatan seseorang Senator (Ahli Dewan Negara) ialah tiga tahun dan boleh dilanjutkan kepada dua penggal yang mana Dewan Negara tidak terjejas dengan pembubaran Parlimen.

 

Bilangan Ahli Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada Fasal (1) Perkara 46, Perlembagaan Persekutuan iaitu seramai 222 orang yang dipilih melalui sistem pilihan raya.

 

5.

Siapakah yang boleh dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat?

 

Yang di-Pertua Dewan Negara dilantik berdasarkan kepada Fasal (1) Perkara 56, Perlembagaan Persekutuan dan beliau dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Negara itu sendiri. Manakala Yang di-Pertua Dewan Rakyat dilantik berdasarkan kepada peruntukan Fasal (1) (a) Perkara 57, Perlembagaan Persekutuan dan beliau boleh dipilih daripada kalangan Ahli Dewan ataupun seseorang yang layak dipilih menjadi Ahli.

 

6.

Siapakah yang boleh dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat?

 

Berdasarkan kepada peruntukan Fasal (1) Perkara 56, Perlembagaan Persekutuan, seorang Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara hendaklah dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Negara. Bagi Dewan Rakyat, dua orang Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah dilantik berdasarkan kepada Fasal (1) (b) Perkara 57 yang mana mereka dipilih daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

 

7.

Apakah peraturan yang diguna pakai ketika perbahasan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat?

 

Peraturan yang diguna pakai ketika perbahasan di Dewan Negara adalah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan bagi Dewan Rakyat, peraturan yang diguna pakai adalah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

 

8.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "Penggal Parlimen"?

 

Secara umumnya, “penggal” adalah tempoh permulaan sidang Parlimen hingga penghujung persidangan pada setiap tahun.

 

9.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "mesyuarat"?

 

Mesyuarat adalah persidangan Majlis yang bermula dari persidangan pertama apabila ia dipanggil pada bila-bila masa untuk bersidang dan berakhir setelah Majlis ditangguhkan selama lebih dari 14 hari atau apabila tarikh untuk persidangan berikutnya tidak ditetapkan atau setelah penggal Parlimen diprorog.

 

10.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "persidangan"?

 

Persidangan merujuk kepada mesyuarat Majlis. Persidangan bermula dan berakhir pada waktu yang ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat, kecuali dimaklumkan oleh Tuan Yang di-Pertua atau diubah dengan Usul oleh Menteri.

 

Persidangan Majlis adalah satu hari mesyuarat yang bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang dan disambung semula pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.

 

11.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "prorog"?

 

Prorog adalah tamatnya satu penggal Parlimen untuk digantikan dengan penggal yang berikutnya.

 

12.

Bilakah Parlimen boleh dibubarkan?

 

Pembubaran Parlimen adalah berdasarkan kepada Fasal (3) Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa Parlimen boleh dibubarkan selepas 5 tahun dari tarikh Mesyuarat Pertama atau pada bila-bila masa yang lebih awal.

 

13.

Bagaimanakah rang undang-undang menjadi undang-undang?

 

Sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan menjadi undang-undang, ia mesti melalui proses di bawah:

 

 

14.

Apakah prosedur untuk melawat Parlimen Malaysia?

 

Semua pelawat sama ada individu atau berkumpulan, institusi dan pertubuhan dalam dan luar negara boleh mengunjungi Parlimen Malaysia.

 

Lawatan hanya dibenarkan semasa hari dan waktu bekerja sahaja.

Pelawat yang ingin membuat permohonan lawatan perlu mengikuti peraturan yang telah ditetapkan seperti berikut:

 

  1. Segala urusan lawatan dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Parlimen Malaysia. Surat permohonan lawatan hendaklah dikemukakan kepada alamat berikut untuk kelulusan:

 

Bahagian Komunikasi Korporat

Aras 4, Blok Ahli Parlimen & Pentadbiran

Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen,

50680 Kuala Lumpur

Tel: +(603) 2072 1955 / +(603) 2601 7222

Emel: info@parlimen.gov.my / pro@parlimen.gov.my

 

  1. Surat permohonan hendaklah mencatatkan nombor telefon dan faks pemohon. (Contoh surat permohonan)

 

  1. Selain itu, permohonan lawatan juga boleh dikemukakan secara atas talian melalui borang permohonan online.

 

  1. Pelawat dikehendaki menunjukkan surat kebenaran lawatan di Balai Pengawal, pintu masuk utama kompleks Parlimen. Ketua rombongan dikehendaki membawa senarai lengkap pelawat yang mengandungi nama penuh, nombor kad pengenalan serta alamat terkini. Hanya mereka yang disenaraikan sahaja dibenarkan masuk mengikuti persidangan.

 

  1. Semua pelawat perlu mematuhi tatacara berpakaian semasa berada di Bangunan Parlimen. Tatacara berpakaian adalah seperti dibawah:

 

 

 

KOD ETIKA BERPAKAIAN SERTA PERATURAN-PERATURAN BAGI PELAWAT-PELAWAT AWAM SEMASA BERADA DI PARLIMEN MALAYSIA

 

 

LELAKI:

  1. Lounge Suit dan bertali leher
  2. Baju kemeja lengan panjang dan bertali leher
  3. Baju batik lengan Panjang
  4. Baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok
  5. Seluar panjang berwarna gelap (slack)
  6. Kasut kuliti

 

WANITA:

  1. Baju kurung atau kebaya labuh / blouse berlengan Panjang
  2. Skirt panjang di bawah paras lutut
  3. Sari dengan blouse berlengan dan pakaian kebangsaan kaum-kaum lain
  4. Seluar panjang (slack)
  5. Lain-lain pakaian yang kemas dan sopan
  6. Berkasut

 

PELAJAR SEKOLAH:

  1. Pakaian seragam sekolah

 

 

PAKAIAN YANG TIDAK DIBENARKAN

 

  1. Baju tanpa lengan
  2. Jaket
  3. Seluar jeans
  4. Pakaian ketat dan mencolok mata
  5. Selipar / kasut sukan
  6. Baju berkolar bulat
  7. Baju T

 

 

PELAWAT TIDAK DIBENARKAN:

 

  1. Membawa kanak-kanak di bawah umur enam tahun
  2. Merokok di kawasan Parlimen
  3. Mengambil gambar semasa berada di dalam Bangunan Parlimen
  4. Membawa masuk telefon bimbit, kamera serta lain-lain alat telekomunikasi ke dalam Dewan Negara / Dewan Rakyat (Alatan ini boleh disimpan di Kaunter Pengawal Pintu 7)
  5. Membawa peralatan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan

 

 

Pelawat dikehendaki menepati masa lawatan yang telah dipersetujui.

 

Pelawat akan memasuki bangunan Parlimen selepas mereka melalui pemeriksaan keselamatan rapi dan melalui mesin pengimbas bagi tujuan keselamatan di Pintu 7.

 

 


Kemaskini terakhir pada: 26 Oktober 2021 | Hits: 690173

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 19/03/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.023 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my