YB Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Negara serta YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putrajaya pagi ini.
Kehadiran rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama menyemarakkan lagi semangat patriotik.
Diserikan pula dengan keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.
Perbarisan dan perarakan menyajikan ebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.
Antara kelainan pada kali ini ialah perbarisan melambangkan kepelbagaian budaya serta persembahan khas simbolik kepada perpaduan masyarakat di negara ini.
Selain itu, kekuatan aset pertahanan negara turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.
Manakala persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ turut dipersembah sebagai penutup tirai majlis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan membanteras gejala rasuah.
Bahagian Komunikasi Korporat
Parlimen Malaysia
31 Ogos 2024
kredit foto: Hazirah