SIDANG PARLIMEN LANCAR DENGAN KEHADIRAN 220 AHLI DEWAN RAKYAT, 51 DEWAN NEGARA
control 1control 2control 3

 

KUALA LUMPUR, 18 Mei  -- Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 hari ini berjalan dalam suasana harmoni dan lancar dengan kehadiran 220 ahli Dewan Rakyat dan 51 ahli Dewan Negara.

Persidangan yang berlangsung di tengah-tengah negara berdepan wabak COVID-19 itu diadakan dengan langkah-langkah keselamatan kesihatan yang ketat serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mula memasuki dewan kira-kira 9 pagi dengan berpakaian istiadat dan penutup hidung dan mulut dilihat bertegur sapa dan beramah mesra.

Mereka kemudian mengambil tempat masing-masing pada 10 pagi dengan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin buat pertama kali menyertai persidangan sebagai Perdana Menteri.

Susunan kerusi bagi ahli dewan hari ini dibuat dengan berselang satu kerusi bagi mematuhi penjarakan sosial. Dua ahli Dewan Rakyat tidak hadir kerana menjalani kuarantin berikutan mereka merupakan kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19.

Mesyuarat itu pada asalnya dijadual pada 9 Mac sehingga 16 April lepas, namun ditangguhkan kepada persidangan sehari pada hari ini berikutan penularan COVID-19 dengan hanya bagi urusan Titah Diraja.

Urusan mesyuarat hari ini dimulakan dengan perisytiharan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

“Ahli-ahli Yang Berhormat Persidangan Parlimen Yang Ke-14, Penggal Ketiga yang diadakan bersama di antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat sekarang berlangsung. Persidangan ini adalah di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan yang mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan bertitah kepada Ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen bersesama.

Sekarang saya tempohkan persidangan buat sementara waktu untuk menyambut keberangkatan tiba ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ditempohkan.” 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah baginda antaranya mengingatkan Ahli Parlimen mempamerkan kematangan dalam berpolitik serta tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat berdepan pelbagai masalah akibat COVID-19.

Pada persidangan itu, jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak COVID-19 mendapat pengiktirafan negara apabila Seri Paduka dan semua yang berada di dalam dewan bangun berdiri dan memberi tepukan gemuruh, simbolik penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan.

Baginda turut bertitah kerajaan wajar mencari pendekatan dalam membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19, selain komited dalam melaksanakan pelan antirasuah nasional.

Persidangan dewan ditangguh pada 10.55 pagi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, selepas selesai Titah Diraja.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan Parlimen ditangguhkan sekarang.”

Berdasarkan takwim persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga yang dijadual berlangsung bermula dari 13 Julai hingga 27 Ogos antaranya bakal melibatkan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain serta Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). -- BERNAMA


Kemaskini terakhir pada: 18 Mei 2020 | Hits: 20702

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 22/11/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.032 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my