KENYATAAN MEDIA YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA
SARANAN PINDAAN KEPADA PERATURAN-PERATURAN MAJLIS MESYUARAT DEWAN RAKYAT UNTUK PEMBAHARUAN DAN
PENAMBAHBAIKAN PROSES DAN PERATURAN PERBAHASAN RANG
UNDANG-UNDANG BUKAN AHLI KERAJAAN (PRIVATE BILLS), USUL TIDAK PERCAYA DAN USUL MENGEMUKAKAN PENDAKWAAN ATAU
PERTUDUHAN (IMPEACHMENT)
12 Julai 2023, Kuala Lumpur – Saya ingin menegaskan bahawa saranan saya melalui temubual media pada 11 Julai 2023 di program Forum anjuran Universiti Sunway adalah untuk membuat cadangan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) Dewan bagi penambahbaikan proses sedia ada bagi perbahasan Rang Undang-undang daripada ahli yang bukan ahli Kerajaan (Private Bills), Usul Tidak Percaya dan Usul Mengemukakan Pendakwaan atau Pertuduhan (Impeachment) agar mendapat keutamaan masa dibandingkan masa perbahasan Rang Undang-Undang Kerajaan (Government Bills).
- Ingin saya tegaskan bahawa cadangan utama saya adalah untuk menggubal peraturan baharu di dalam Dewan yang memberi ruang masa perbahasan Usul Tidak Percaya dan Usul Mengemukakan Pendakwaan atau Pertuduhan (Impeachment) oleh ahli Parlimen tanpa melalui proses yang rumit dan panjang dan bukan penggubalan undang-undang baru untuk pemecatan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh beberapa media.
- Proses sedia ada bagi cadangan perbahasan usul di Dewan Rakyat bagi selain Rang Undang-Undang Kerajaan (Government Bills) adalah melalui notis empat belas (14) hari atau lebih dan proses ini harus ditambahbaik agar usul-usul lain selain Rang Undang-Undang Kerajaan (Government Bills) yang menepati syarat perbahasan dan Peraturan Majlis Mesyuarat ini mendapat keutamaan ruang masa dan dibincangkan secara komprehensif oleh ahli Parlimen.
- Ini adalah bertepatan dengan komitmen saya kepada YAB Perdana Perdana Menteri bahawa saya akan menjalankan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan proses tatakerja di Parlimen Malaysia di dalam memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Sebagai contoh saya juga ingin memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membantu pentadbiran dan pengurusan di Parlimen Malaysia secara amnya.
- Ingin saya tegaskan di sini bahawa cadangan dan saranan penambahbaikan dan pembaharuan ini akan dibincangkan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk pembaharuan Parlimen yang bakal diadakan dalam masa yang terdekat.
TAN SRI DR HAJI WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Yang di-Pertua Dewan Negara
12 Julai 2023
-TAMAT-
Pertanyaan media:
1. Norhayati Abd Manaf, Setiausaha Akhbar
Tel: 012 – 393 5075