Kenyataan Media Townhall Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 




  KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA TOWNHALL HENTIKAN BULI: SUARA RAKYAT, TANGGUNGJAWAB KITA

JAWATANKUASA PILIHAN WANITA, KANAK-KANAK DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15

 

 

KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2025- Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Parlimen Malaysia hari ini menganjurkan Townhall “Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita” di Parlimen Malaysia. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, sekali gus memperlihatkan komitmen kepimpinan Parlimen untuk memberikan perhatian serius terhadap isu buli dalam kalangan masyarakat.
Jawatankuasa telah membentangkan satu penyata di Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2025 berkenaan Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Malaysia (DR. 26 Tahun 2025) dan menganjurkan satu taklimat khas berkenaan isu buli kepada semua Ahli Dewan Rakyat, pada 20 Ogos 2025 bagi memberi pendedahan kepada ahli-ahi parlimen mengenai definisi, bentuk-bentuk serta kesan buli terhadap mangsa, pelaku, dan komuniti sekolah dan status kes buli di Malaysia.
Townhall ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, wakil EXCO Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kehadiran semua pihak membuktikan kesepakatan bahawa isu buli bukanlah masalah terpencil atau individu semata-mata, tetapi
 
merupakan isu nasional yang menuntut tindakan menyeluruh dan bersepadu.
Laporan UNICEF pada tahun 2020 mengenai buli dalam kalangan kanak- kanak, mendapati Malaysia menduduki tempat kedua di Asia selepas India dan tempat keenam dalam dunia untuk siber buli. Laporan menunjukkan 3 daripada 10 kanak-kanak terjejas. Isu buli di Malaysia semakin membimbangkan dengan peningkatan kes yang dilaporkan dari tahun ke tahun. Bentuk buli juga semakin kompleks, merangkumi buli fizikal, lisan dan buli siber. Gejala ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa dari segi fizikal, malah turut menjejaskan kesihatan mental, keyakinan diri serta kesejahteraan sosial mereka. Ada kes yang membawa kepada kecederaan serius, kemurungan dan cubaan membunuh diri. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa isu buli telah berkembang menjadi cabaran keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, Townhall ini berperanan sebagai platform penting untuk mendengar suara rakyat secara langsung, termasuk pengalaman mangsa, pandangan ibu bapa, perspektif pendidik, serta cadangan daripada pakar dan pertubuhan masyarakat sivil. Semua dapatan akan dikumpulkan dan dirumus dalam satu laporan rasmi Jawatankuasa, yang seterusnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebagai asas kepada syor dasar dan tindakan susulan.
Jawatankuasa percaya bahawa usaha membanteras buli memerlukan sinergi yang menyeluruh antara Parlimen, kerajaan negeri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO, PIBG dan seluruh masyarakat. Hanya melalui kerjasama erat semua pihak, negara dapat membina persekitaran yang lebih selamat untuk anak-anak membesar, sekali gus melahirkan generasi yang seimbang, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Sesi Townhall ini diharap menjadi titik permulaan penting untuk menggerakkan perubahan ke arah budaya hormat-menghormati, empati dan kepedulian dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

 

 

 


 


Kemaskini terakhir pada: 10 September 2025 | Hits: 920

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 04/12/2025.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2025 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.028 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my