Siaran Media Dewan Rakyat Filipina Iktiraf Komitmen Parlimen Malaysia Memperluas Kerjasama Rantau Asean Dengan Resolusi Khas
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

     SIARAN MEDIA  

DEWAN RAKYAT FILIPINA IKTIRAF KOMITMEN PARLIMEN MALAYSIA MEMPERLUAS KERJASAMA RANTAU ASEAN DENGAN RESOLUSI KHAS

 

MANILA, 28 JANUARI –Sebagai tanda penghormatan terhadap hubungan erat antara Malaysia dan Filipina, Dewan Rakyat Filipina hari ini telah meluluskan satu resolusi khas yang mengiktiraf usaha Parlimen Malaysia yang diketuai oleh YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 atas komitmen beliau memperluas kerjasama antara Parlimen serantau, selain menyatakan sokongan padu Filipina terhadap tema kepimpinan ASEAN 2025, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan.”

 

Peristiwa itu berlangsung sempena jelajah YB Tan Sri Johari Abdul ke ASEAN berikutan lawatan-lawatan beliau ke negara Thailand, Kemboja dan Singapura yang bermula pertengahan Januari yang lalu.

 

Dalam kerangka lawatan tersebut, YB Tan Sri Johari Abdul telah mengadakan suatu pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya TYT Ferdinand Martin G. Romualdez, Speaker Dewan Rakyat Filipina. Kedua-dua Speaker telah mengulangi komitmen untuk meneruskan hubungan diplomatik yang telah terjalin selama lebih enam dekad, di samping mengetengahkah kepentingan kerjasama dalam isu-isu utama serantau termasuk pertumbuhan ekonomi, keamanan dan keselamatan, keterjaminan makanan serta tindakan menangani perubahan iklim.

 

Sewaktu pertemuan tersebut, YB Tan Sri Johari menyampaikan jemputan kepada TYT Romualdez dan delegasi Parlimen Filipina untuk menyertai AIPA ke-46 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada September 2025.

 

YB Tan Sri Johari juga telah mengadakan pertemuan dengan TYT Francis Escudero, Presiden Senat Filipina di mana kedua-dua pemimpin menekankan peranan diplomasi parlimen dalam memperkukuhkan keutamaan ASEAN bagi menangani isu dan mencorakkan hala tuju rantau ini.

 

Filipina merupakan rakan dagang ke-17 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada tahun 2024 dengan jumlah dagangan bernilai RM35.16 bilion (USD7.68 bilion), peningkatan 5.5 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2023.

 

PARLIMEN MALAYSIA
28 JANUARI 2025

   


Kemaskini terakhir pada: 28 Januari 2025 | Hits: 950

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
Kemaskini Terakhir: 28/03/2025.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2025 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.037 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my