![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
DIPLOMASI PARLIMEN SERANTAU: SPEAKER SINGAPURA TERIMA JEMPUTAN RASMI AIPA KE-46 OLEH YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
SINGAPURA, 20 JANUARI-- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, telah mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen Singapura, TYT Seah Kian Peng, untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi parlimen. Dalam pertemuan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Speaker Parlimen Singapura untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin legislatif turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pertukaran pengetahuan, khususnya mengenai isu-isu keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan inovasi digital. Perbincangan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memanfaatkan diplomasi parlimen untuk mendepani cabaran serantau dan global.
Pertemuan ini memperlihatkan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk memperkukuh hubungan serantau dan menyumbang kepada kestabilan ASEAN. Dengan landskap cabaran global yang semakin kompleks, kerjasama strategik antara institusi legislatif kedua-dua negara diharap dapat mengukuhkan ketahanan ASEAN dalam menghadapi pelbagai isu global dan serantau.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif diplomasi parlimen, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dijadualkan meneruskan lawatan rasmi beliau ke Brunei pada Rabu ini, sejajar dengan kepengerusian Parlimen Malaysia dalam AIPA ke-46.
PARLIMEN MALAYSIA
20 JANUARI 2025
Kemaskini terakhir pada: 21 Januari 2025 | Hits: 942