PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
OLEH
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA
FILEM “RAJA MELEWAR” PERLU DIANGKAT
SEBAGAI KHAZANAH SEJARAH
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2022 (Khamis) : Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah menerima kunjungan hormat daripada Seniwati Negara, Dato’ Hajah Rosnani Jamil di Parlimen pagi tadi. Pertemuan singkat ini dilakukan bagi membincang usaha merestorasi filem “Raja Melewar” yang telah diterbitkan pada tahun 1998, sebuah karya arahan Allahyarham Jamil Sulong. “Raja Melewar” adalah filem yang menggalurkan semula sejarah Diraja Negeri Sembilan yang bermula dari Pagaruyung Minangkabau di awal abad ke-18 dan hubungannya dengan Siak dan Riau.
Filem tersebut menceritakan tentang Negeri Sembilan yang tidak mempunyai pemimpin ketika itu dan menghadapi kekacauan dalam pentadbiran negeri terpaksa menoleh kepada Pagaruyung untuk mendapat seorang raja. Pagaruyung telah mengirimkan Tengku Mahmud (lakonan Eizlan Yusuf) ke Negeri Sembilan untuk ditabal sebagai raja (Yamtuan Besar).
Kisah dalam filem ini diisi dengan beberapa konflik kecil antara Penghulu Naam (Aziz Jaaffar) dengan Sutan Karo (Shaharuddin Thamby) dan juga gangguan dari sekumpulan lanun yang cuba mengambil kesempatan menabalkan Raja Khatib. Tengku Mahmud akhirnya berjaya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Yamtuan Besar) dan diberi nama Raja Melewar.
Apabila melihat jalan cerita yang dipaparkan, sudah semestinya filem ini layak untuk dijadikan sebagai satu khazanah sejarah yang boleh dirujuk oleh generasi akan datang. Justeru Tan Sri Rais mencadangkan agar usaha untuk merestorasi filem tersebut ke dalam bentuk digital perlu diteruskan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Parlimen, Kuala Lumpur
31 Mac 2022
Kemaskini terakhir pada: 1 April 2022 | Hits: 2674