![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
MODEL HIBRID DALAM AKTA PERKHIDMATAN
PARLIMEN 2025
KUALA LUMPUR, 28 Februari 2025, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang telah melalui bacaan pertama pada 24 Februari 2025 telah memperkenalkan beberapa perkara yang bukan sahaja memberi autonomi kepada Parlimen Malaysia tetapi meningkatkan ketelusan dan kewibawaan institusi ini. Antara lain, Parlimen Malaysia dan Kerajaan telah memperkenalkan model hibrid dalam pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan di Parlimen Malaysia. Pelaksanaan ini bertujuan untuk memastikan keseimbangan antara kepakaran khusus dalam pengurusan Parlimen dan kecekapan pentadbiran serta operasi.
Pada asalnya, Perkhidmatan Parlimen dicadangkan sebagai perkhidmatan tertutup, di mana pegawai yang berkhidmat di Parlimen Malaysia hanya akan kekal dalam perkhidmatan tersebut dengan laluan kerjaya dan mobiliti yang terhad. Namun, hasil kajian tinjauan yang dijalankan oleh Parlimen Malaysia pada 6 Februari 2024 menunjukkan bahawa hanya 33% daripada pegawai tetap yang bertugas di Parlimen Malaysia bersetuju untuk kekal dalam skim Perkhidmatan Parlimen, manakala 67% ingin kembali ke perkhidmatan asal mereka.
Bagi menangani kebimbangan ini, model hibrid yang diperkenalkan telah membolehkan pentadbiran dan kewangan Parlimen Malaysia terus dikendalikan oleh Pegawai Perkhidmatan Awam, sementara pengurusan Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk hal-ehwal urusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) dikendalikan oleh anggota Perkhidmatan Parlimen yang merupakan satu perkhidmatan yang berasingan.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelangsungan kepakaran khusus dalam pengurusan sesi Parlimen, tetapi juga mengekalkan kelancaran operasi melalui pengalaman Pegawai Perkhidmatan Awam. Pada masa yang sama, ia membuka laluan kerjaya yang lebih fleksibel kepada pegawai yang ingin berkhidmat di Parlimen secara tetap atau sementara (secara peminjaman).
Bagi merealisasikan pelaksanaan Perkhidmatan Parlimen ini dengan mengambil kira model hibrid satu Kumpulan Nukleus akan ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan baharu ini. Kumpulan Nukleus ini diberi jangkamasa tidak melebihi 24 bulan untuk penyelarasan pelaksanaan ini. Model hibrid ini adalah langkah strategik bagi memastikan kecekapan pentadbiran Parlimen Malaysia, mengekalkan tenaga pakar dalam urusan perundangan dan memenuhi keperluan pelbagai pihak termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat dan pegawai yang terlibat dalam perkhidmatan ini.
PARLIMEN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2025
Kemaskini terakhir pada: 28 Februari 2025 | Hits: 994