![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
PERSIDANGAN SPEAKER SEDUNIA KE-6: MALAYSIA TEGAS PERTAHAN MULTILATERALISME, SERU KEADILAN UNTUK PALESTIN
GENEVA, 30 Julai – YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, hari ini telah menyampaikan ucapan dalam sesi Debat Perdana Persidangan Speaker Sedunia Ke-6 bertajuk “Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua” sempena Persidangan Speaker Parlimen Sedunia Ke-6 di Geneva.
Tan Sri Johari turut mencadangkan tiga langkah konkrit bagi memperkukuh peranan institusi legislatif global: dialog yang berkala antara IPU dan Majlis Keselamatan PBB; mekanisme tindak balas pantas semasa krisis global; dan garis panduan pengawasan parlimen terhadap kecerdasan buatan serta teknologi baru.
Dalam ucapannya, beliau telah menegaskan pendirian Malaysia untuk terus memperjuangkan sistem antarabangsa yang berteraskan undang-undang, prinsip keadilan, serta pengukuhan institusi Parlimen sebagai tunjang demokrasi yang bebas dan berdaya tahan. Sebagai Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Johari telah menekankan bahawa ASEAN komited menyumbang kepada wacana global melalui pengalaman serantau dalam menyelesaikan pertikaian secara aman di samping membina jaringan diplomasi antara parlimen.
Tan Sri Johari turut menarik perhatian kepada isu konflik Palestin yang semakin meruncing, dan menyeru agar satu gencatan senjata yang berkekalan, menyeluruh dan tanpa syarat dilaksanakan segera di Gaza. Beliau menyatakan bahawa Malaysia secara konsisten menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Dalam konteks ini, beliau memohon supaya parlimen-parlimen dunia harus menyuarakan ketidakadilan yang melanggar prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa daripada terus dilanggar tanpa sebarang kebertanggungjawaban.
Selaras dengan penglibatan beliau dalam Persidangan Speaker Parlimen Sedunia Ke-6, Tan Sri Johari turut menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Menegakkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Undang-Undang Antarabangsa bagi Menjamin Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa anjuran Parlimen Republik Islam Iran, yang menghimpunkan Speaker Parlimen dari seluruh dunia bagi membincangkan peranan institusi legislatif dalam memperkukuh sistem perundangan antarabangsa.
Dalam sesi itu, beliau menyuarakan sokongan Parlimen Malaysia terhadap usaha menegakkan keadilan melalui saluran PBB, khususnya bagi rakyat Palestin, serta menyeru reformasi struktur Majlis Keselamatan PBB termasuk penyemakan kuasa veto dalam isu kemanusiaan. Sebagai Presiden AIPA, beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip “ASEAN Way” berasaskan dialog dan diplomasi, serta menyeru parlimen dunia agar lebih proaktif mempertahankan prinsip multilateralisme, rule of law dan keadilan global.
Di sela-sela persidangan, Tan Sri Johari turut mengadakan pertemuan dua hala bersama pemimpin-pemimpin legislatif antarabangsa, termasuk TYT Rolando Gonzalez Patricio, Presiden Parlimen Latin Amerika dan Caribbean (PARLATINO); PYT Valentina Matvienko, Speaker Majlis Persekutuan Rusia; TYT Dr. Mohammad Bagher Ghalibaf, Speaker Parlimen Republik Islam Iran; TYT Shalva Papuashvili, Speaker Parlimen Georgia dan TYT Syed Yousaf Raza Gilani, Pengerusi Senat Pakistan. Pertemuan-pertemuan ini membuka ruang untuk bertukar pandangan mengenai kepentingan memperkukuh diplomasi antara parlimen, memperluas kerjasama rantau ASEAN dan dunia, dan menyokong reformasi sistem antarabangsa yang lebih adil dan terangkum.
Penyertaan Parlimen Malaysia dalam persidangan ini mencerminkan kepentingan parlimen yang bukan sahaja memainkan peranan di peringkat nasional, malah turut berperanan penting dalam membentuk kerjasama global yang lebih strategik dan responsif untuk komuniti dunia.
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
PARLIMEN MALAYSIA
Kemaskini terakhir pada: 31 Julai 2025 | Hits: 1049
www.parlimen.gov.my