Siaran Media Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Mengadakan Pertemuan Dengan Pemimpin Tertinggi Kemboja Di Phnom Penh Semasa Jelajah Asean
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

     SIARAN MEDIA  

YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT MENGADAKAN PERTEMUAN DENGAN PEMIMPIN TERTINGGI KEMBOJA DI PHNOM PENH SEMASA JELAJAH ASEAN

 

 

PHNOM PENH, 17 JANUARI—Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Kemboja iaitu rakan sekerja beliau, PYT Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, Speaker Dewan Perwakilan Kemboja, Timbalan Perdana Menteri TYT Santepundit Neth Savoeun, dan TYT Hun Sen, Presiden Senat Kemboja. Lawatan ini adalah sebahagian daripada Jelajah ASEAN yang bertujuan memperkukuhkan persiapan Parlimen Malaysia untuk mempengerusikan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke- 46 (AIPA) tahun ini.

 

Dalam pertemuan dengan PYT Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu berkepentingan serantau, termasuk memperdalam kerjasama antara parlimen ASEAN melalui pertukaran ahli-ahli parlimen, pemerkasaan hubungan dua hala Malaysia-Kemboja dan peranan penting diplomasi legislatif dalam menghadapi cabaran global seperti keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan inovasi digital.

 

Pertemuan bersama TYT Hun Sen turut membuka peluang untuk memperincikan usaha memperkukuhkan hubungan diplomatik dan legislatif antara kedua-dua negara. Kedua- dua pemimpin senada agar program pertukaran antara pelajar Malaysia dan Kemboja diadakan untuk saling mengenal dan menghargai sejarah serta warisan budaya kedua- dua negara. Usaha ini bukan sahaja dapat mempererat hubungan di peringkat rakyat,

 

tetapi juga menyemai semangat perpaduan dan pemahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda ASEAN.

 

Sementara itu, pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Santepundit Neth Savoeun menumpukan kepada isu-isu strategik serantau, termasuk keamanan dan keselamatan ASEAN, di samping kerjasama dalam bidang pembangunan mampan. Kedua-dua pihak juga mengiktiraf pentingnya hubungan erat antara cabang eksekutif dan legislatif dalam merealisasikan agenda serantau. Selain itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut mencadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja agar sektor pelancongan Malaysia dan Kemboja dibangunkan bersama sebagai langkah memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara. Dengan memanfaatkan keunikan destinasi pelancongan dan keindahan warisan budaya masing- masing, kerjasama ini mampu meningkatkan daya tarikan rantau ASEAN sebagai destinasi pilihan di peringkat global.

 

Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut menekankan komitmen Malaysia untuk memastikan kejayaan AIPA di Kuala Lumpur tahun ini, lantas menjemput pemimpin-pemimpin Kemboja untuk ke Kuala Lumpur pada September ini.

 

 

PARLIMEN MALAYSIA
17 JANUARI 2025

   


Kemaskini terakhir pada: 17 Januari 2025 | Hits: 1005

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
Kemaskini Terakhir: 28/03/2025.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2025 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.036 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my