![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
"DARIPADA RETORIK KEPADA TINDAKAN: MALAYSIA SERU PEMBAHARUAN DAN PENGUKUHAN INSTITUSI SEWAKTU JUBLI PERAK PUIC"
YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT TEGASKAN KEPERLUAN TINDAKAN KONKRIT, PERPADUAN DAN PEMBAHARUAN INSTITUSI DALAM DUNIA ISLAM
JAKARTA, 14 MEI 2025 – Malaysia mengulangi komitmennya terhadap kepimpinan berprinsip, solidariti Selatan–Selatan, dan perjuangan rakyat Palestin sempena Sambutan Ulang Tahun ke-25 Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota OIC (PUIC) yang diadakan di Jakarta. Mewakili Parlimen Malaysia, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, telah menyampaikan ucapan yang menyeru agar masa depan dunia Islam diletakkan dalam tanggungjawab institusi yang kukuh, bertanggungjawab, dan mempertingkat kerjasama antara parlimen.
“PUIC harus mengalami perkembangan. Ini bukan masa untuk refleksi pasif. Ini adalah seruan untuk bertindak—untuk memimpin dengan integriti, mentadbir dengan belas kasihan dan membina institusi yang mampu mengharungi apa jua cabaran,” ujar Tan Sri Johari dalam ucapan pembukaannya.
Beliau kemudian menggariskan tiga keutamaan strategik untuk babak seterusnya kerjasama PUIC. Yang pertama, memperkukuh solidariti Selatan–Selatan dengan pendekatan berasaskan tindakan, di mana YB Tan Sri Johari menyeru negara-negara anggota PUIC untuk meneroka, dalam peranan legislatif mereka, kebolehlaksanaan penubuhan Dana Kerjasama Selatan–Selatan PUIC. Dana ini dicadangkan untuk menyokong projek-projek utama dalam bidang pertanian, ekonomi digital, dan tenaga bersih. Dengan menggalakkan dialog dan kolaborasi, parlimen dapat membantu memperkukuh perkongsian serantau dan menyokong pembangunan mampan di
seluruh negara OIC. Turut dicadangkan ialah penubuhan Pertukaran Pengetahuan dan Inovasi Dunia Islam, yang menghubungkan para penyelidik, ahli parlimen dan institusi, serta Dialog Parlimen mengenai Zon Pembangunan Serantau yang menumpukan kepada kluster industri halal, kewangan Islam dan kerjasama agri- teknologi.
Keutamaan kedua berpusat pada kepimpinan beretika dan tadbir urus berteraskan belia. Menyoroti hubungan erat antara kepimpinan dan kekuatan institusi, Tan Sri Johari menekankan keperluan parlimen untuk melabur dalam kepimpinan masa depan yang terangkum dan bersedia menghadapi cabaran. “Institusi yang kukuh adalah asas kepada masyarakat yang berdaya tahan. Di sinilah ahli parlimen mesti berperanan bukan sekadar sebagai penggubal undang-undang, malah sebagai pemimpin yang berintegriti dan membela nasib rakyat,” kata beliau. Malaysia mencadangkan dua mekanisme untuk menyokong matlamat ini: pembentukan Jawatankuasa Hal Ehwal Belia PUIC untuk memastikan suara belia lebih aktif dalam pembentukan dasar, dan penubuhan Akademi Kepimpinan Parlimen PUIC bagi membimbing dan memupuk generasi pemimpin baharu yang berpaksikan nilai keadilan dan tanggungjawab sivik.
Keutamaan ketiga menggariskan pemerkasaan suara PUIC dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan keadilan global. Tan Sri Johari mengulangi sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan Palestin. Beliau mengalu-alukan sesi khas PUIC mengenai Palestin dan menggesa semua negara anggota merangka tindakan balas yang lebih terselaras dan berkesan. “Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin—tidak mengira kerajaan yang memerintah dan merentasi generasi,” katanya. Beliau menegaskan bahawa PUIC tidak seharusnya hanya bersuara, tetapi juga perlu menggerakkan sokongan ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan. Malaysia juga mengulang kembali sokongan penuhnya terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta mengecam keras pencabulan berterusan terhadap undang-undang antarabangsa.
Dalam penutup ucapannya, Tan Sri Johari menggesa PUIC untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan dalam menghadapi cabaran global. Beliau menekankan bahawa parlimen tidak seharusnya dilihat hanya sebagai medan upacara rasmi, tetapi sebagai institusi yang membawa harapan rakyat, mempertahankan keadilan, dan memelihara maruah umat. “Malaysia bersedia untuk bekerjasama, berkongsi kepimpinan, dan menyampaikan hasil yang nyata demi manfaat bersama,” ujar beliau.
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
Kemaskini terakhir pada: 15 Mei 2025 | Hits: 1220
www.parlimen.gov.my