ISTIADAT KEBERANGKATAN BALIK YANG DI-PERTUAN AGONG KE-14
control 1control 2control 3
PARLIMEN MALAYSIA, 12 Disember – Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Hajah Haminah, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong hari ini berkenan berangkat ke Dataran Parlimen bagi menyempurnakan Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14. 


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Hajah Haminah, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di sambut oleh YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika tiba di Dataran Parlimen pada Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 89, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada 11 April 2012, dan Tuanku Hajah Haminah berangkat meninggalkan Istana Negara pada kira-kira jam 8.20 pagi.

Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 14 anggota daripada Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat dan disambut oleh YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan YABhg. Datin Sri Rosmah Mansor, Isteri Perdana Menteri.

Baginda berdua kemudian diiring ke Pentas Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan 'Hormat Diraja' oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya.

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Dataran Parlimen.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kemudian memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh YBhg. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan disusuli persembahan 'Hormat Diraja' kali kedua serta lagu Negaraku.

Baginda berdua kemudian berkenan bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah.


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Hajah Haminah, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong melambai mesra kepada hadirin sebelum berangkat pulang pada Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Dataran Parlimen.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mencipta sejarah apabila menjadi raja pertama yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 September 1970 sehingga 20 September 1975 dan kali kedua pada 13 Disember 2011 hingga 12 Disember ini.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Kemaskini Terakhir pada: 4 Januari 2017 | Hits: 16390

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Kemaskini Terakhir pada: 01/12/2020.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2020 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.033 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my