SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA
Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi di dalam Negara yang menggubal undang-undang. Parlimen Malaysia terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat telah dirasmikan buat pertama kalinya pada 11 September 1959.

Berikut adalah peristiwa-peristiwa penting ke arah pembentukan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan berikutan perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pejabat Kolonial.

Majlis Perundangan tersebut merupakan institusi pertama di negara yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden.
Negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan membentuk satu gabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Perkembangan ini merintis jalan ke arah pembentukan satu sistem Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang.

Badan Perundangan Pusat masih belum wujud dan setiap negeri bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk membuat undang-undang.
Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dengan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas Parlimen.

Majlis ini mempunyai 13 orang ahli yang dilantik termasuk Raja keempat-empat Negeri Melayu Bersekutu, Residen Jeneral British, keempat-empat Residen British serta empat orang ahli tidak rasmi.

Penubuhan Majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.
Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu berhenti menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Penyusunan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan ini turut mengubah keanggotaannya menjadi 13 orang ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi.

Majlis tersebut merupakan satu-satunya badan yang dilantik sepenuhnya sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada Disember 1941.
Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945) menyebabkan terhalangnya perkembangan perlembagaan tetapi peristiwa itu telah melahirkan kesedaran politik dalam di kalangan masyarakat.
Sebuah Majlis Penasihat (Advisory Council) dibentuk dan dianggotai oleh 13 orang ahli mewakili Negeri-Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat - Melaka dan Pulau Pinang.

British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran (Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri Selat - Pulau Pinang dan Melaka) melalui rancangan Kesatuan Malaya (Malayan Union).

Malayan Union ditentang hebat terutama oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua UMNO ketika itu.

Malayan Union ditentang kerana diyakini akan menggugat kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Penentangan terhadap Malayan Union menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Melalui perjanjian ini Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dengan jumlah ahli yang dilantik seramai 75 orang (3 ahli ex-officio, 11 orang ahli dari Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat, 11 orang pegawai British dan seramai 50 orang ahli tidak rasmi).

Bual pertama kali Majlis Perundangan mempunyai kelebihan dua pertiga bilangan suara ahli tidak rasmi

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan satu langkah British untuk merangka dasar-dasar asas kerajaan berparlimen.
Sistem Ahli yang menjadi perintis kepada sistem kerajaan berkabinet / Jemaah Menteri seperti yang ada pada hari ini diperkenalkan.
Dalam sistem ini ahli-ahli diberikan beberapa portfolio di bawah tanggungjawab mereka.
Raja-Raja Melayu telah mengurniakan sebuah Cokmar kepada Majlis Perundangan Persekutuan.

Cokmar mempertingkatkan lagi status Majlis kerana Cokmar merupakan satu lambang keagungan, kehormatan sinonim dengan kebesaran sistem demokrasi berparlimen.
Pesuruhjaya Tinggi berhenti mempengerusikan Majlis dan tempat beliau digantikan dengan Yang di-Pertua yang dilantik iaitu Dato' Sir Mahmud bin Mat.
Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibubarkan untuk membolehkan Kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama kalinya bagi memilih ahli-ahli untuk mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan.

Dalam pilihan raya umum pada Julai 1955 Parti Perikatan, iaitu gabungan UMNO, MCA dan MIC berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang telah dipertandingkan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu.

Ahli Majlis Perundangan Persekutuan bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan-kepentingan tertentu, dan 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri.

Ini merupakan kemajuan yang penting dalam perkembangan sistem pentadbiran demokrasi berparlimen tanah air.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Tanah Melayu mengetuai satu misi ke London untuk menuntut kemerdekaan.

Kerajaan British bersetuju supaya sebuah kerajaan sendiri yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ehwal dalam negeri dimulakan dengan serta merta.
Satu Perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh badan bebas terdiri daripada pakar undang-undang beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord Reid. Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Sistem demokrasi berparlimen yang berpandukan model Westminster adalah yang terbaik bagi negara ini.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah Menteri seramai 12 orang.
Pada 31 Ogos 1957 pengisytiharan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka. Majlis Perundangan Persekutuan menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Dewan Parlimen sehingga dibubarkan pada Jun 1959.
 

YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan Jemaah Menteri Pertama selepas Merdeka
Satu pilihan raya umum diadakan. Berikutan itu sistem Parlimen dua Dewan yang mengandungi institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dibentuk.
 

Pembukaan Parlimen Pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I, Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad di Dewan Tunku Abdul Rahman. Jalan Ampang

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959. Dewan Rakyat dengan 104 orang ahli yang dipilih rakyat mula bersidang buat pertama kalinya pada hari itu. Dewan Negara yang mengandungi 38 orang ahli yang dilantik juga bersidang pada hari yang sama. Pada hari bersejarah itu bermulalah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di tanah air yang merdeka.
 

Sidang Parlimen yang pertama berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959
Usul untuk menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura oleh YTM Tunku Abdul Rahman diluluskan oleh Dewan Rakyat dan pada 18 Oktober 1961 pertemuan diadakan antara YTM Tunku dengan Perdana Menteri Great Britain di London.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia.
Suruhanjaya Cobbold di bawah pimpinan Lord Cobbold ditugaskan untuk mengkaji pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai kemasukan negeri tersebut ke dalam Malaysia.

Sebahagian besar rakyat negeri berkenaan bersetuju dengan konsep Malaysia dan Penyata Suruhanjaya Cobbold diterima
Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom dan Ireland Utara, Singapura, Sabah dan Sarawak telah bersetuju dengan terma Perjanjian Malaysia. Dewan Undangan Negeri Singapura, Sabah dan Sarawak telah meluluskan resolusi yang membolehkan penubuhan Malaysia. Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat ialah pada 16 September 1963.

Dewan Rakyat ketika itu dianggotai oleh 159 orang ahli iaitu 104 orang dari Tanah Melayu, 16 orang dari Sabah, 24 orang dari Sarawak dan 15 orang dari Singapura. Manakala Dewan Negara pula mempunyai 50 orang ahli iaitu 28 orang mewakili 14 Dewan Undangan Negeri dan 22 orang yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ketiga Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail merasmikan pembukaan bangunan Parlimen yang terletak berhampiran Taman Tasik Perdana pada 2 November 1963. Parlimen pertama dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan pilihan raya umum kedua diadakan pada 25 April 1964.

Berikutan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bilangan kerusi Dewan Rakyat terus meningkat sehingga kepada 222 kerusi pada Parlimen yang kedua belas.
 
DEWAN RAKYAT
 
Dewan Rakyat dianggotai seramai 222 ahli dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihanraya yang diadakan setiap lima tahun. Parti yang memperoleh kerusi majoriti akan membentuk kerajaan Persekutuan bagi mentadbir negara. Kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat adalah seperti berikut:-

Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.


Kemaskini terakhir pada: 23 April 2021 | Hits: 614535

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 18/03/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.025 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my