KENYATAAN MEDIA
PARLIMEN MALAYSIA MEMPERKUKUH DIPLOMASI SERANTAU MENJELANG KEPENGERUSIAN ASEAN 2025
LAWATAN RASMI KE VIETNAM (23 HINGGA 25 OKTOBER 2024)
-
- Selaras dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, saya telah melaksanakan tindakan proaktif dan meneruskan kesinambungan pengukuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN dengan lawatan rasmi ke Vietnam pada 23 hingga 25 Oktober 2024.
-
- Kunjungan ini juga menumpukan kepada persiapan bagi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang bakal dianjurkan oleh Malaysia pada tahun 2025, dengan matlamat meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga bersih, dan pertukaran budaya bagi memperkukuh ikatan ASEAN yang inklusif dan mampan.
-
- Dalam kerangka lawatan saya ke Hanoi, saya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam merangkap Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Tuan Yang Terutama (TYT) Tô Lâm, Perdana Menteri Vietnam, TYT Phạm Minh Chính serta rakan sejawat saya, President of the National Assembly of Vietnam, TYT Trần Thanh Mẫn. Pertemuan saya dengan pemimpin- pemimpin tertinggi Vietnam ini menandakan pencapaian signifikan dalam hubungan dua hala, dengan perbincangan strategik yang membuka jalan bagi kerjasama lebih erat pada masa hadapan.
-
- Semasa pertemuan dengan TYT Tô Lâm, beliau telah berkongsi kemajuan usaha Vietnam untuk mendukung sasaran perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam bernilai USD 18 bilion menjelang 2025 selain perbincangan mengenai isu keselamatan dan cabaran maritim serantau.
-
- Saya juga telah bertemu dengan rakan sejawat saya, TYT Trần Thanh Mẫn, di mana kami telah membincangkan potensi besar dalam bidang ekonomi hijau, digitalisasi, dan inovasi. Dalam perbincangan ini, Malaysia dan Vietnam sepakat untuk memperhebat usaha dalam pembangunan mampan dan penggunaan teknologi hijau serta memperkukuh infrastruktur digital yang lebih inklusif dan maju.
-
- Mengakhiri lawatan rasmi saya di Vietnam, saya juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam, TYT Phạm Minh Chính yang amat positif. Perdana Menteri Vietnam telah menyatakan hasrat untuk melihat hubungan antara Malaysia dan Vietnam terus diperkukuhkan menjelang ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik pada tahun 2025, di samping menegaskan kepentingan kerjasama serantau dalam kalangan negara ASEAN.
-
- Lawatan ini memperkukuh lagi hubungan diplomatik dan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan, demi manfaat bersama dan kemajuan rantau ASEAN yang dinamik. Sebagai Pengerusi AIPA 2025, Malaysia komited memperkukuh diplomasi parlimen dan kerjasama serantau yang progresif dengan mengadakan siri jelajah untuk bertemu pemimpin-pemimpin ASEAN dalam masa terdekat.
PERHIMPUNAN AGUNG ANTARA PARLIMEN ASEAN (AIPA GA) KE-45 DI VIENTIANE, LAOS (18 HINGGA 22 OKTOBER 2024)
-
- Pada 21 Oktober, saya telah mengambil alih tugas sebagai Pengerusi Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 bagi tahun 2025 daripada Speaker Laos, TYT Xaysomphone Phomvihane, pada majlis penutupan AIPA ke-45 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane.
-
- Dalam sela AIPA GA ini juga, saya telah bertemu dengan pemimpin- pemimpin legislatif termasuk TYT Wan Muhamad Noor Matha, Speaker Dewan Perwakilan dan Presiden Perhimpunan Kebangsaan, TYT Abdul Rahman Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei, PYT Samdech Moha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, President of the National Assembly of the Kingdom of Cambodia, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti dan Perhubungan Korporat, PYT Nararya S. Seoprapto serta PYT Åslaug Sem-Jacobsen, Ahli Parlimen Telemark, Norway. Semua pemimpin ini telah menzahirkan dukungan padu terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
-
- Justeru, sebagai Presiden AIPA 2025, Malaysia akan:
-
-
- Melaksanakan komitmen untuk mengutamakan keterangkuman dan jalinan kerjasama ASEAN melalui pengembangan infrastruktur fizikal dan digital.
- Merangsang perdagangan, pelaburan, dan pergerakan rakyat di seluruh rantau.
- Meneruskan usaha pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memacu kemajuan, memastikan kestabilan ekonomi, dan menggalakkan pertukaran budaya di ASEAN.
- Memastikan diplomasi parlimen memainkan peranan yang lebih besar dalam melengkapkan usaha kerajaan, di mana saya menyeru ahli parlimen untuk bekerjasama erat dengan badan-badan ASEAN, masyarakat sivil, dan sektor swasta untuk membina ASEAN yang lebih makmur dan selamat.
-
- Selaras dengan memperkasakan institusi legislatif dalam meningkatkan Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Inklusif ASEAN, Malaysia akan menggembleng tenaga bersama rakan-rakan anggota ASEAN untuk memastikan agar semua rakyat ASEAN meraih manfaat daripada integrasi serantau. Malaysia komited untuk memperjuangkan isu ini melalui pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, dan infrastruktur yang kukuh. Saya yakin bahawa dengan bekerjasama, negara-negara anggota ASEAN dapat mencapai visi bersama untuk sebuah rantau yang bersatu, makmur, dan suatu rantau peneraju global.
-
- Saya turut menyeru kepada semua negara ASEAN untuk mengutamakan isu keselamatan makanan dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. ASEAN harus memanfaatkan inovasi dalam menghadapi cabaran ini serta merapatkan jurang akses digital melalui pelaburan dalam infrastruktur digital, yang sekaligus memperkasakan golongan belia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
-
- Namun, kemajuan ini mesti disertai dengan langkah keselamatan siber yang kukuh dan rangka kerja tadbir urus bagi memastikan ruang digital yang selamat dan boleh diakses oleh semua. Dalam aspek diplomasi parlimen, saya menekankan keperluan untuk menegaskan kepusatan ASEAN bagi menangani cabaran kompleks yang dihadapi rantau ini melalui dialog terbuka dalam kalangan ahli parlimen AIPA demi mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran ASEAN.
-
- Sebagai penutup, saya ingin mengingatkan bahawa abad ini adalah Abad Asia, dan saya percaya yang ASEAN akan menjadi daya serantau yang amat kuat (formidable) dalam memacu kemakmuran rakyat Asia secara dunia. Malaysia akan menunjukkan kepimpinan ASEAN yang terangkum dan tuntas untuk mencapai misi ini. Justeru, saya memerlukan dukungan dari semua pihak, baik daripada bahagian eksekutif, rakan-rakan media serta akademia bagi menjayakan AIPA demi kemajuan rantau dan kesejahteraan semua rakyat ASEAN.
Terima kasih.
28 OKTOBER 2024