PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama B N Reddy, di Parlimen hari ini.
Kunjungan hormat tersebut, antara lain, bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan berkenaan dengan kerjasama dua hala kedua-dua buah negara dalam pelbagai sektor utama seperti ekonomi dan diplomasi budaya. Perbincangan turut menyentuh tentang hubungan yang boleh dimainkan India di peringkat multilateral antara India dan ASEAN.
Untuk rekod, Malaysia dan India telah menjalin hubungan dua hala sejak 1957 dengan pembukaan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi. Kemudiaannya berkembang dan menjadi rapat pada 1960-an melalui hubungan persahabatan antara Tunku Abdul Rahman dan Jawarhal Nehru.
Dalam pertemuan tersebut, Tan Sri Rais turut menzahirkan kesediaan Parlimen Malaysia mempelajari beberapa perkara dari Lok Sabha dalam merealisasikan agenda Transformasi Parlimen, memandangkan India merupakan salah satu negara terawal melakukan transformasi tersebut.
Dalam sektor kebudayaan, Tan Sri Rais menyanjung tinggi seni budaya negara itu dan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada lagenda, penari dan koreografer tarian klasik India di Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim, dengan penganugerahan Padma Shri, satu anugerah keempat tertinggi India, semasa Anugerah Akademi Sangeet Natak pada 2018.
Beliau berharap agar seni dan budaya India terus berkembang dan menjadi salah satu elemen perpaduan dalam meraikan kepelbagaian kaum di negara ini.
Turut hadir dalam majlis kunjungan tersebut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Puan Subhashini Narayanan. - TAMAT
Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara
Tarikh: 17 Februari 2023
Kemaskini terakhir pada: 20 Februari 2023 | Hits: 2491