NOTA RINGKASAN
SEMINAR SAMBUTAN JUBLI EMAS HUBUNGAN DIPLOMATIK
MALAYSIA-REPUBLIK RAKYAT CHINA
- Tanggal 31 Mei 2024 menandai genapnya 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China. Bersempena dengan sambutan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-Republik Rakyat China itu, bersama Kelab Senator Malaysia, Dewan Negara mengambil inisiatif menganjurkan seminar yang akan mengetengahkan sejarah, perkembangan semasa dan harapan masa hadapan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara.
- Walaupun hubungan diplomatik dalam sejarah moden baru berusia 50 tahun, fakta sejarah menunjukkan bahawa hubungan antara tamadun Alam Melayu dengan tamadun China telah berlangsung sejak sebelum Masihi, berdasarkan rekod sejarah dinasti-dinasti awal China. Hubungan yang ketara berlangsung pada abad ketujuh Masihi, iaitu antara kerajaan Sriwijaya di Alam Melayu dengan Dinasti Tang di China. Ketika itu telah wujud hubungan bahasa, adat istiadat dan agama antara kedua-dua tamadun. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran, perdagangan dan pengajuan agama Buddha. Catatan pendeta Buddha dari China yang masyhur, Yi Jing tentang hubungan dua tamadun itu dirakam oleh Yi Jing dalam tulisannya yang tersimpan di kuil terbesar Buddha di kota Xi'an, China.
- Hubungan yang lebih pesat berlaku dalam abad ke-15 Masihi, antara Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan Dinasti Ming. Sebenarnya itulah detik awal hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China, kerana hubungan yang rasmi telah berlangsung dalam bidang ekonomi dan perdagangan, bahasa, kebudayaan dan sosial. Kedatangan Laksamana Ceng Ho, atau nama sebenarnya Zheng He sebanyak tujuh kali dengan armada raksasanya berjumlah puluhan ribu orang, menjadi bukti hubungan yang berasaskan persahabatan, bukan hegemoni atau penjajahan.
- Dalam konteks zaman moden, terutama melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative), saya berharap semangat persahabatan pada abad ke-15 itu terus menjadi asas hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China.
- Seminar ini menampilkan dua orang sarjana yang mendalami kajian berkaitan dengan hubungan tamadun Melayu-China. Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan ialah Profesor Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing sebanyak dua kali dan telah melakukan kajian dan menulis serta membentangkan lebih 30 kertas seminar tentang hubungan Malaysia-Republik Rakyat China. Dato' Goh Hin San pula ialah Presiden Pusat Han Malaysia yang melakukan kajian tentang tokoh budaya China pada abad ketujuh Masihi, iaitu Yi Jing yang berperanan sebagai duta tamadun dari China ke Alam Melayu. Beliau juga mengusahakan terjemahan dua hala karya agung dan sastera Malaysia-Republik Rakyat China.
- Seminar ini juga merealisasikan Dasar Diplomasi Kebudayaan (Cultural Diplomacy Policy) yang menjadi salah satu dasar hubungan antarabangsa yang diamalkan oleh negara ini. Selain kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, negara kita mengambil pendekatan mengangkat kerjasama dalam bidang pendidikan, bahasa, kebudayaan dan sosial. Dalam konteks ini, dukungan pelbagai agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara, Institusi Pendidikan Tinggi, media dan Persatuan seperti GAPENA, Pusat Han Malaysia dan yang lain amat penting, di samping usaha pihak kerajaan. Selain itu, amat penting hubungan rakyat dengan rakyat digerakkan dengan lebih pesat, selain hubungan kerajaan dengan kerajaan.
- Seminar yang dirasmikan oleh YB Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara ini turut disertai oleh Ahli-ahli Dewan Negara, penjawat awam, sarjana, mahasiswa dan ahli persatuan sosiobudaya.
Kelab Senator Malaysia, Dewan Negara
Parlimen Malaysia
30 Mei 2024, Khamis