PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
Empat Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa mulai 3 Disember 2022 di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim hari ini.
Mereka ialah YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Senator Datuk Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir yang dilantik sebagai Menteri Luar Negeri dan YB Senator
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).
Majlis Mengangkat Sumpah pada hari ini dibuat selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat (4)(1) dan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan mengikut Jadual Keenam, Perlembagaan Persekutuan. Syarat yang dikenakan di bawah Perkara 43 (2)(b), Perlembagaan Persekutuan juga turut dipenuhi yang menyatakan seseorang Menteri hendaklah menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Tan Sri Rais dalam ucapannya berkata, “ Satu-satunya hal yang baik bagi kita peringati ialah bahawa para Senator yang dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri adalah juga juara terbaik bagi membela dan menegapkan institusi Senat sebagai Badan Legislatif tertinggi negara kita”.
Dalam ucapan ringkas tersebut juga, Yang di-Pertua Dewan Negara turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan berharap agar Malaysia akan terus dipacu kecemerlangannya di bawah pentadbiran beliau. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob, bekas Perdana Menteri Ke-9 atas sumbangan dan budi yang dicurahkan sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan.
Di samping itu, Tan Sri Rais juga meminta kepada semua Senator untuk meneliti kembali senarai tugas kolektif untuk Capaian Utama masing-masing mulai tahun 2023. Beliau juga berharap agar para Senator memperkasakan kembali Reformasi Institusi Parlimen yang telah diusahakan hampir setahun setengah yang menumpukan dua akta penting yang memerlukan pindaan iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan Akta Kuasa dan Keistimewaan Majlis Parlimen 1952. Menurut beliau lagi, cadangan dan kertas kabinet telah pun disediakan sebelum Parlimen ditangguhkan tempoh hari. - TAMAT
3 Disember 2022
Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur
Kemaskini terakhir pada: 3 Disember 2022 | Hits: 2477