PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
TEHRAN, 30 Julai 2024: Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, TYT Masoud Pezeshkian sempena peristiwa bersejarah pemilihan dan pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Islam itu pada hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden Pezeshkian atas pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Islam Iran yang baharu dan menyatakan bahawa detik penting ini merupakan lipatan sejarah penting ke arah usaha pengukuhan dan peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran dalam pelbagai bidang. Hasrat ini dapat dicapai melalui perluasan hubungan persaudaraan yang erat antara dua negara ini untuk kepentingan kedua-dua negara serta rakyat.
Menyifafkan hubungan persaudaraan antara Iran dan Malaysia yang erat, Presiden Pezeshkian berhasrat untuk menautkan lagi hubungan ini agar lebih padu melalui lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
Beliau juga telah menyatakan komitmen Kerajaan Iran untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia merentasi pelbagai sektor, termasuk perdagangan, ekonomi, sains dan teknologi, yang bertunjangkan persamaan budaya dan agama antara kedua-dua negara.
TYT Pezeshkian dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga saling bertukar pandangan berkenaan peranan negara-negara Islam khususnya Malaysia dalam membangunkan dan mengukuhkan hubungan antara negara Islam bagi manfaat Ummah Islam sedunia. Perubahan dunia yang semakin terangkum menuntut agar komuniti dunia, termasuk
Malaysia dan Iran saling menggembleng kudrat, kepakaran dan kebolehan intelektual ke arah kesederhanaan dan kesalingfahaman yang tinggi demi kestabilan dan keselamatan sejagat.
Menyentuh keadaan semasa di Gaza, Presiden Pezeshkian juga telah menzahirkan rasa terima kasih atas ketegasan pendirian Malaysia yang konsisten mendukung serta membela kebajikan dan nasib rakyat Palestin yang tertindas dan menyeru perpaduan lebih erat dalam kalangan umat Islam terjalin agar kezaliman terhadap rakyat Palestin dihentikan serta-merta.
Dalam pertemuan ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga telah menekankan kepentingan peranan Republik Islam Iran sebagai tonggak kestabilan dan keselamatan di rantau ini, dan telah menzahirkan harapan agar Iran dapat mewujudkan keamanan dan keselamatan serantau di bawah kepimpinan Presiden Pezeshkian.
Menyentuh kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun 2025, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menyatakan bahawa ASEAN merupakan rantau yang berpotensi luas untuk Iran mengembangkan sayap kerjasama serantaunya, lebih-lebih lagi dalam aspek ekonomi, perdagangan, pendidikan, teknologi digital, keterjaminan maknan dan inovasi digital. Justeru, peningkatan dialog dan kepelbagaian kerjasama antara ASEAN dan Iran perlu diadakan agar matlamat kemakmuran dan kestabilan serantau dapat dicapai bersama.
Pautan foto: http://tiny.cc/0qubzz
30 JULAI 2024
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Pn. Shaira Amira binti Jamal Abdul Nasir
Setiausaha Akhbar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ke-11 Emel: shaira@parlimen.gov.my | Tel: 03-2601 7462 www.parlimen.gov.my
Kemaskini terakhir pada: 31 Julai 2024 | Hits: 749