PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT MEMULAKAN JELAJAH KE ASEAN: THAILAND DAN KEMBOJA
KUALA LUMPUR, 14 JANUARI—Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul akan memulakan jelajah rasmi ke ASEAN dengan lawatan ke Thailand pada 15 Januari 2025, diikuti dengan lawatan ke Kemboja pada 16 dan 17 Januari 2025. Jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha Parlimen Malaysia ke semua negara ASEAN sebagai persediaan bagi penganjuran Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang akan berlangsung di Malaysia pada September 2025.
YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, yang juga Presiden AIPA ke-46, berkata bahawa jelajah ini akan dijalankan untuk mendapatkan input bersama Speaker-Speaker Parlimen Asean untuk memastikan Malaysia agar menjadi tuan rumah AIPA yang terbaik. Lawatan ini juga akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.
Di Thailand, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Wan Muhamad Noor Matha, Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand, serta TYT Mongkol Surajja, Presiden Senat Thailand.
Seterusnya, di Kemboja, Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan mengadakan kunjungan hormat ke atas beberapa pemimpin utama negara itu termasuk rakan sejawat beliau PYT Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, Presiden Dewan Kebangsaan Kemboja dan TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, Presiden Senat Kemboja. Perbincangan dalam pertemuan ini akan menumpukan kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam kerjasama antara parlimen, ekonomi, dan sosial antara Malaysia dan Kemboja.
Jelajah ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memantapkan hubungan dengan negara-negara ASEAN, selaras dengan matlamat menjadikan rantau ini lebih bersatu, berdaya tahan, terangkum dan berdaya saing di peringkat global. YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul juga akan dijadualkan untuk mengadakan jelajah lawatan rasmi beliau ke negara-negara ASEAN dalam masa terdekat dalam memperkukuh hubungan antara institusi legislatif serantau.
PARLIMEN MALAYSIA
14 JANUARI 2025
Kemaskini terakhir pada: 14 Januari 2025 | Hits: 365