PARLIMEN MALAYSIA, 22 Mac – YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Negara hari ini menerima kunjungan hormat H.E. Chung Sye-Kyun, Speaker Parlimen Korea Selatan di Kamar Yang di-Pertua Dewan Negara, di sini.
Dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran dan H.E. Chung Sye-Kyun mengambil peluang berbincang mengenai isu-isu semasa dan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.
Selepas pertemuan itu, YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran dalam satu temubual berkata, antara intipati yang dibincangkan termasuk mengenai perdagangan Malaysia dan Korea Selatan, Dasar Pandang ke Timur 2.0 selain mengenai projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Negara mengadakan perbincangan bersama delegasi Korea Selatan yang diketuai H.E. Chung Sye-Kyun, Speaker Parlimen Korea Selatan pada kunjungan hormat berkenaan.
YB Senator Dato’ Sri SA. Vigneswaran juga berkata H.E. Chung Sye-Kyun memaklumkan kepada beliau mengenai hasrat republik itu untuk mewujudkan semula sistem Parlimen dwi dewan seperti yang diamalkan di Malaysia.
Katanya, sebelum era 1960-an, republik itu telah menggunakan sistem dwi dewan tetapi selepas itu konsep satu dewan diperkenal dan diguna pakai sehingga kini.
YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersalaman dengan H.E. Chung Sye-Kyun ketika menerima kunjungan hormat Speaker Parlimen Korea Selatan itu di Kamar Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Terdahulu, Speaker Parlimen Korea Selatan itu turut membuat kunjungan hormat ke atas YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Kemaskini terakhir pada: 24 Mac 2017 | Hits: 17259